,

M. SHARIFF PERNAH DIIKTIRAF PEMBUAT GITAR DUNIA!

Ramai generasi muda hari ini tak tahu yang penyanyi dan pemuzik terkenal 60an, Allahyarham M. Shariff adalah tokoh Fenderman Asia yang diiktiraf Yayasan Fender, pembuat instrumen gitar terkenal dunia itu suatu ketika dulu.

Allahyarham sebaris dengan ikon muzik dunia apabila Fender International memberi anugerah sebagai Fenderman Malaysia kerana menggunakan 30 gitar jenama Fender sepanjang tiga dekad penglibatannya dalam muzik.

Anugerah itu berupa gitar Fender buatan tangan yang bersalut emas 18 karat dan tertera tanda tangan serta bendera Malaysia.

Gitar itu berharga RM47,000 kini menjadi koleksi paling berharga Allahyarham selain 75 cermin mata pelbagai bentuk serta 100 pasang pakaian.

”Mereka memberi pilihan samaada saya mahu meletakkan wajah saya di gitar itu. Tetapi saya fikir lebih baik bendera Malaysia,” kata Allahyarham ketika menerima anugerah itu tidak lama dulu.

Mereka yang rapat dengan Allahyarham tentu tahu bagaimana sayangnya Allahyarham terhadap semua gitar-gitarnya.

Tidak seorang pun yang dibenarkan meminjam gitar-gitar itu malah Allahyarham amat berhati-hati kerana bimbang gitar itu tercalar.

Allahyarham sebenarnya generasi muda yang membesar dan meredah keremajaan ketika The Beatles menjadi ikon muzik mewakili Barat dan Mohamad Rafi serta Lata Mageskar di Timur.

Al-Fatihah buat Allahyarham.