, , ,

IBRAHIM WIRA PENJARA YANG TAK DIDENDANGKAN

Hari ini adalah Hari Penjara Ke-227. Sempena ulang tahun yang sungguh bermakna itu, aku nak buat ‘tribute’ khas kepada seorang wira yang tak didendang atau ‘unsung heroes’ Jabatan Penjara Malaysia yang namanya tak pernah atau jarang didengar oleh generasi muda sekarang.

Untuk rekod sejarah Penjara Malaysia, ada dua kejadian yang betul-betul menggemparkan negara.

Sebagai bekas wartawan, aku merasakan adalah tanggungjawab aku untuk menceritakan balik serba sedikit mengenainya walaupun aku sendiri ketika itu masih di bangku persekolahan.

Apa yang aku ceritakan ini adalah pengalaman aku bergaul dengan pegawai dan wadar penjara sepanjang bergelar wartawan jenayah.

Pertama, pada Oktober 1986, enam banduan telah menahan seorang doktor dan pembantunya di Penjara Pudu sebagai tebusan dalam usaha untuk melarikan diri dari penjara.

Namun setelah hampir seminggu berlarutan, anggota Unit Tindakan Khas (UTK) berjaya menggempur penjara berkenaan dan menangkap kesemua banduan serta membebaskan tebusan dengan tanpa ada pertumpahan darah.

Kedua, pada Januari 1987, tiga banduan Indonesia menahan Majistret Mariana Yahya di Penjara Kuantan untuk dijadikan tebusan.

Bagaimana pun tak sampai 24 jam, dua daripada mereka berjaya ditembak mati dan seorang lagi berjaya diberkas. Mariana akhirnya berjaya dibebaskan.

Dalam dua-dua kejadian itu, lelaki berasal dari Kelantan, Datuk Ibrahim Mohamed adalah orang yang mengetuai Jabatan Penjara.

Sebagai Ketua Pengarah, peranannya sangat signifikan dalam usaha pembebasan para tebusan.

Walaupun kedua-dua insiden itu berakhir dengan operasi pihak UTK Bukit Aman, namun tak ramai tahu JASA BESAR DAN SUMBANGAN beliau pada penyelesaian krisis penuh dramatik itu.

Dalam kes Penjara Pudu, sebenarnya kalau ikut perancangan Ibrahim, beliau mahu kesemua banduan itu ditembak mati namun kerana akur dengan permintaan Perdana Menteri ketika itu, Dr. Mahathir yang tidak mahu ada pertumpahan darah, Ibrahim dan Datuk Zaman Khan (PDRM) mengubah taktik kepada menggempur penjara tersebut tanpa menggunakan senjata api.

Untuk itu, dalam senyap-senyap, Ibrahim telah berunding atau ‘kowtim’ dengan salah seorang banduan yang terlibat untuk ‘memberi laluan’ dan membuka pintu bagi memudahkan anggota UTK membuat serbuan. Taktik Ibrahim berjaya.

Akhirnya memang betul banduan itu termakan pujukan Ibrahim untuk membuka pintu hingga membolehkan anggota UTK masuk dan kesemua tebusan dibebaskan.

Dalam kes Penjara Kuantan pula, Ibrahim nyaris dibunuh kerana lehernya dicekak dan ditarik salah seorang banduan sewaktu beliau sedang berunding untuk membebaskan majistret berkenaan.

Ketika suasana tegang inilah, pasukan UTK ‘mengambil kesempatan’ dengan meluru masuk dan menembak dua banduan Indonesia tersebut sehingga mati!

Ibrahim bersara daripada Jabatan Penjara pada tahun 1988. Umurnya tetapi tak ramai tahu jasanya yang besar itu.

Beliau mungkin sudah dilupakan namun pengorbanannya tak mungkin dapat dinilai walau dengan emas, wang dan permata.

Pada 25 Oktober 2016, Ibrahim yang berusia 84 tahun itu kembali ke rahmatullah akibat serangan angin ahmar. Beliau meninggalkan seorang balu, Datin Ba’ayah Murad, 74, tujuh anak serta 14 cucu.

Kita semua terhutang budi padanya. Al-Fatihah.

SALUTE!