, ,

MENGENANG ARWAH LOLOQ…

TAHUN 1988, Pasar Seni (CM) baru dibuka. Masih hijau tetapi sangat popular. CM memindahkan lokasi pertemuan seniman jalanan dari Panggung Drama berdekatan Bas Stand Kelang, dan dari Kompleks Budaya Negara di Padang Merbuk. Sejak CM buka, seniman merambu ke Restoran Yusof dan pedestrian sekitar CM.

Loloq pula baru sampai dari Singapura. Umurnya baru 30 tahun. Jadi dia antara yang selalu melepak dan mendengar orang baca puisi di CM. Waktu itu Loloq sudah mula menulis lirik. Di KL, Loloq menyertai rakan lamanya M. Nasir.

Hebatnya lirik-lirik Loloq kita tak perlu bual. Google akan menjelaskan semuanya. Dia seniman hebat dengan lebih 500 lirik lagu yang 90 peratus menjadi hits dan dinyanyikan artis popular.

Search, Wing dan Ella paling banyak menikmati lirik karya Loloq.

Cuma bagi kawan lama, kehilangan Loloq pada 30 Januari 2008 dirasakan sebagai kehilangan pakar bercerita yang bakatnya sangat menarik ketika berbual di warung kopi atau restoran mamak.

Kalau tidak di Restoran Yusuf dalam CM, tempat menarik berbual dengan Loloq ialah di Nasi Kandar Lorong Katak sebelah CM.

Loloq meriah idea; meraikan perbezaan dan semua benda serius diaturnya menjadi jenaka. Dia pakar mengkomikkan idea dalam perbualan. Malah, dia bijak mencipta satira spontan.

Ada kawan akrab yang memiliki sekeping lukisan pensil yang bertahun tidak dapat dijual. Lukisan ala-ala absurb dengan imej ular melingkar di sebatang pokok besar.

Satu hari, setelah bertahun-tahun mengusung sekeping lukisan kecil yang tidak pernah terjual itu – Loloq mengusulkan:

“Ada band rock nak buat album,” kata Loloq dengan muka yang serius: “Aku boleh rekemen lukisan kau jadi cover.”

Si pelukis nampak seronok tapi berkata: “Dia bayar seribu aku bagi copy right!”

Muka Loloq merah padam dan menjawab: “Kau ni macam superstar. Kalau berlagak kau simpan saja lukisan tu!”

Ini suasana biasa. Satu hal yang eksklusif tentang Loloq. Dia berterus-terang dan akan berkasar dengan orang yang disukainya. Loloq tidak bergurau dengan semua orang. Tidak ramah tanpa melihat siapa rakan bualnya.

Tak tahu apa nasib lukisan itu. Tetapi pelukisnya antara sahabat yang disayangi Loloq. Tiap kali Loloq turun ke CM dan sebelum pulang, dia akan memberikan wang pada rakan ini. Walaupun dengan jenaka: “Naik bas balik Kajang. Jangan kau berlagak tidur hotel!”

Loloq kuat membaca. Dia memang penagih buku. Wangnya habis di kedai buku terpakai Jalan Bangsar. Atau di susur buku lambak yang dijual orang di celah-celah tangga sepanjang bangunan Jalan Masjid India. Tahun sembilan puluhan, buku-buku hebat dunia ditemui di celah-celah tangga.

Loloq suka sastera Rusia (sesuatu yang tidak pernah ditemui dalam lirik-lirik lagunya). Dia suka Nikolai Gogol dan Maxim Gorky. Loloq mahir juga sejarah Eropah moden terutama yang mempengaruhi aliran idea seni.

Membaca buku dan menyintai ilmu antara susuk Loloq yang unik. Ketika dihadiahkan buku Resurrection, karya klasik Leo Tolstoy, dia menerimanya dengan komen: “Tebal. Jenuh nak baca!”

Beberapa minggu kemudian, ketika minum di Benteng Lama, Loloq memuji Tolstoy. Dia menjelaskan secara terperinci kehebatan Resurrection berbanding War & Peace.

Maknanya, dapat saja dia terus membaca.

“100 tahun lalu,” kata Loloq: “Orang macam Tolstoy melihat dunia dengan perasaan yang hebat!”

Membaca adalah dunia Loloq. Malah lebih penting, membaca bahan yang mengayakan perasaan terhadap hidup. Perasaan luar biasa itulah tercurah dalam lirik-liriknya walaupun dalam bahasa yang mudah.

Tahun ini sudah sembilan tahun Loloq pergi. Lirik-liriknya kekal didengar. Cuma bagi kawan-kawan kaki warung dan restoran, terasa sepi. Suara cerdiknya menjenakakan hal-hal yang besar secara komikal dan satira kini sudah tiada.

Takkan ada tempat untuk memutarkan semula semua kehebatan dan kecerdikan Loloq ketika bercerita di meja kopi. Dia memang pakar dalam coffee session meeting!

Al fatihah buat Rosli Khamis. Anda memang lagenda.

SUMBER MYNEWSHUB.CC