, ,

AMEER ALI…NEKAD MENERUSKAN LEGASI MYDIN

MYDIN bukanlah satu nama asing di Malaysia, malah syarikat milik anak tempatan Mydin Mohamed Holdings Bhd (Mydin) yang kini menjangkau 60 tahun usia penubuhannya, telah melakar sejarah gemilang dalam industri peruncitan.

Mydin mampu berkembang daripada kedai kecil-kecilan bermula tahun 1957, sehingga kini sudah mempunyai pelbagai rangkaian jenama Mydin.

Mydin pada mulanya diasaskan dan diusahakan sendiri oleh usahawan Malaysia bernama Mydin Mohamed Ghulam Hussein setelah bapanya, Gulam Husen Jamal membuka kedai pada tahun 1981 di Pulau Pinang.

Bagaimanapun, ketika Perang Dunia ke-2, kedai bapanya telah dibom oleh Jepun dan keluarga mereka kehilangan segala-galanya.

Sejak itu, Mydin Mohamed berazam meneruskan perniagaan bapanya. Beliau berhijrah dan membuka kedai pertama di Jalan Tok Hakim, Kota Bharu, Kelantan pada 1957.

Melebarkan perniagaan dengan membuka kedai kedua di Kuala Terengganu pada tahun 1979 dan kemudiannya membuka cawangan pertama di Lembah Klang, iaitu di Jalan Masjid India pada tahun 1987 dan akhirnya telah berkembang dengan mantap sehingga kini dikenali sebagai Mydin Mohamed Holdings Berhad.

Tanggal 1 Ogos 2016, pengasas Mydin, Mydin Mohamed telah meninggal dunia dan legasi Mydin kini diterajui oleh empat anak lelaki beliau yang diketuai oleh anak keduanya, Datuk Dr Ameer Ali Mydin sebagai Pengarah Urusan.

Berkesempatan bertemu dengan Ikon Bisnes kali ini, Ameer Ali meluahkan kesyukuran kerana perniagaan Mydin semakin berkembang dari tahun ke tahun dengan sokongan baik daripada pelanggan.

“Tahun lalu sahaja kita mencapai 322 cawangan yang merangkumi pelbagai konsep perniagaan dan akan membuka lagi cawangan baharu tahun ini untuk memenuhi permintaan pengguna,” katanya.

Ameer Ali mula menceburkan diri dalam perniagaan Mydin pada 1987, tidak terus memasuki perniagaan keluarganya selepas menamatkan pengajian pada 1980. Ini kerana beliau mahu menimba pengalaman terlebih dahulu di tempat lain.

“Saya tidak seperti adik-beradik lain, apabila mereka tamat tingkatan lima terus menolong ayah di kedai. Saya berpeluang menyambung pengajian ke Amerika Syarikat (AS).

“Tamat sahaja pengajian tahun 1980, saya bekerja di Arab Malaysian Merchant Bank dan selepas itu baru menceburkan diri dalam perniagaan Mydin dengan membuka cawangan baharu dan yang pertama di Lembah Klang iaitu di Jalan Masjid India, Kuala Lumpur,” katanya.

Melihat sambutan menggalakkan, Ameer Ali meneruskan pembukaan kedai Mydin di Chow Kit dan Selayang bagi tahun berikutnya.

Peralihan lokasi perniagaan

Perubahan besar berlaku pada Mydin apabila membuka pasar raya besarnya yang pertama di Subang Jaya pada 2006. Walaupun melalui pelbagai rintangan, Ameer Ali tetap percaya dengan matlamatnya dan tidak mudah berputus asa.

Berkongsi mengenai idea membuka pasar raya besar itu, beliau berkata, idea diperoleh setelah membaca sebuah buku berjudul Kmart’s Ten Deadly Sins, yang menjelaskan kesalahan besar Kmart sepanjang beroperasi.

“Kmart ialah sebuah kedai yang terkenal di AS suatu ketika dahulu yang menjual pelbagai barangan dan kelengkapan dengan harga berpatutan, namun berakhir dengan kegagalan.

“Ketika saya membaca buku itu, kebanyakan kesalahan yang dilakukan Kmart lebih kurang sama dengan apa yang Mydin lakukan,” katanya.

Jelasnya, antara kesalahan yang telah Kmart lakukan ialah memilih untuk membuka kedai di kawasan bandar tanpa memikirkan untuk beralih ke kawasan luar bandar yang ketika itu bandar tidak lagi menjadi tumpuan pelanggan.

Memandangkan apa yang berlaku di AS adalah 10 tahun ke hadapan dari Malaysia, mendorong ikon berusia 60 tahun ini, memikirkan strategi untuk mengubah haluan Mydin dengan segera sebelum terlambat.

“Sejak itu, saya mula memikirkan untuk membuka cawangan di pinggir dan luar bandar serta mendapat idea yang pertama, di mana kedudukannya
terletak di pinggir bandar iaitu Subang Jaya.

“Alhamdulillah, perancangan dibuat itu memberi kebaikan kepada jenama Mydin untuk kekal sehingga kini, di samping dapat membuka lebih banyak pasar raya besar Mydin seluruh negara,” katanya.

Ameer Ali mengakui, pelbagai cabaran perlu dilalui semasa ingin membuka pasar raya besar Mydin yang pertama itu, antaranya permohonan untuk membuat pinjamanbank telah ditolak hanya kerana pada masa itu, nama Mydin masih belum terkenal dan tidak mendapat keyakinan daripada pihak bank.

“Mereka anggap Mydin seperti pasar malam, tidak setanding dan tidak mampu bersaing dengan pasar raya milik pesaing yang ketika itu telah bertapak kukuh di Subang Jaya.

“Pihak bank seperti tidak percaya syarikat kecil mahu membuka pasar raya besar, pada saat sudah ada pasar raya besar lain yang lebih besar berdiri di kawasan sama,” katanya yang mengucapkan syukur kerana akhirnya mendapat dana daripada sebuah bank lain.

Tiru untuk lebih baik

Strategi yang diguna pakai oleh Mydin di awal pembukaannya dengan cara ‘meniru’ pengurusan dan operasi pesaing seperti susunan dan kedudukan produk, sedikit sebanyak menyumbang kepada kejayaan pasar raya besar Mydin yang pertama di Subang Jaya.

Ameer Ali berkata, jangan malu untuk meniru pesaing demi kebaikansyarikat dan menarik pelanggan ke premis.

“Jika kita lihat apa yang pihak pesaing lakukan itu berjaya, tidak salah untuk kita tiru, jangan buat pandai-pandai kerana kita ibarat orang baru.

“Mungkin orang lain tidak setuju cara kami, tetapi tidak salah apabila kita tiru dan buat ia jadi lebih baik sesuai dengan keadaan,” katanya.

Antara sebab Mydin meniru pesaingnya adalah kerana mahu memudahkan masyarakat setempat yang telah biasa mencari produk dan keperluan di pasar raya bersebelahan, mencari keperluan yang sama di Mydin.

“Strategi itu ternyata berkesan apabila semakin hari jumlah pengunjung Mydin Subang Jaya semakin meningkat. Apabila kedudukannya semakin stabil, Mydin mula buat pengubahsuaian dari semasa ke semasa agar pengunjung selesa untuk setia bersama Mydin.

“Kesimpulannya, jangan sesekali pandang rendah pada pesaing yang kecil, kerana mungkin suatu hari dia akan menjadi lebih besar daripada kita sehingga pelanggan mula beralih arah,” katanya.

Setelah 10 tahun Mydin memulakan konsep pasar raya besar, kini Mydin telah mempunyai 24 buah pasar raya besar seluruh negara.

“Tahun lalu kita membuka tiga buah pasar raya Mydin bertempat di Sarawak, Melaka dan Kedah.

“Tahun ini pula kita akan membuka empat lagi pasar raya besar iaitu dua di Kuching, satu di Johor dan satu di Jengka, Pahang,” katanya.

322 cawangan Mydin terdiri daripada pasar raya besar, Emporium, Bazar, MyMydin, MyMart, Mydin Mart, SAMS Groceria, SAMS Deli dan Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M).

Tawar harga terendah

Mengenai harga pula, Mydin yang terkenal dengan slogan ‘Mengapa bayar lebih? Belilah dengan harga borong!’ dan berpegang dengan falsafah menawarkan harga rendah sepanjang masa, sememangnya menawarkan harga produk lebih berpatutan daripada pesaing lain.

Ameer Ali berkata, Mydin tiada tawaran diskaun pada hari-hari tertentu seperti penjual lain dan tidak mengambil margin keuntungan yang terlalu tinggi bagi mengekalkan harga rendah sepanjang masa.

“Selain itu, kualiti barangan yang dijual di Mydin setanding dengan barangan dijual di tempat lain.

“Bagi pakaian pula, Mydin akan memastikan ia mengikut perkembangan fesyen semasa bagi memastikan tidak ketinggalan dan sentiasa mendapat sambutan daripada pelanggan,” katanya.

Menurutnya, seperti penjual lain, Mydin juga mempunyai produk ‘house brand’ tetapi tidak menggunakan jenama Mydin kerana bagi memudahkan peniaga mendapatkan bekalan barangan di Mydin menjual semula produk itu di kedai mereka. Contohnya peniaga kedai runcit dan peniaga pasar malam.

“Istimewanya, Mydin turut menjual barangan keperluan Muslimin seperti telekung, sejadah, barangankeperluan haji serta umrah dan pelbagai lagi. Kepelbagaian produk keluaran perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dari pelbagai negeri juga boleh didapati di Mydin,” katanya.

Terus mahu berkembang

Walaupun nama Mydin telah lama dikenali, bagi Ameer Ali, beliau belum puas lagi dalam usaha untuk terus kukuh dalam pasaran iaitu dengan membuka lebih banyak pasar raya besar di seluruh negara.

Bagi masa terdekat ini, beliau berkata, Mydin telah membuka cawangan baharu di beberapa negeri termasuk Sarawak, namun belum bercadang membuka di Sabah.

“Sarawak sudah ada beberapa cawangan dibuka di sana seperti di Kuching, namun belum mahu membuka di Sabah berikutan faktor kos yang lebih tinggi.

“Apa yang penting, kita mahu kembangkan perniagaan dan kekalkan perniagaan yang ada untuk perancangan akan datang,” katanya.

Berkongsi antara kelebihan lain dimiliki Mydin, Ameer Ali berkata, pelanggan tidak perlu risau atau ragu-ragu apabila berkunjung dan membeli di Mydin kerana produk dijual sepenuhnya halal.

“Produk dan ruangan yang kami sediakan semuanya bersih dan dijamin halal. Tiada bahagian tidak halal ditawarkan di Mydin,” katanya.

(sumber Sinar Harian)