,

ANAK MALAYSIA CATAT SEJARAH FELLOW BEDAH OTAK DUNIA!

AWAL Mac 2004, satu peristiwa besar yang `mengangkat’ nama Malaysia, berlaku di Edinburgh, United Kingdom. Namun, tidak ramai rakyat negara ini yang menyedarinya. Sekalipun, tanpa publisiti meluas, namun, buat julung kalinya, bendera Malaysia berkibar di persada dunia.

Sejak negara mencapai kemerdekaan, inilah kali pertama anak Melayu yang menceburi bidang perubatan neurosains mendapat pengiktirafan.

Pengiktirafan paling berprestij itu diberikan kepada anak kelahiran Sungai Rambai, Bukit Mertajam, Seberang Perai, Pulau Pinang, Profesor Dr. Jafri Malin Abdullah.

Beliau yang juga pakar bedah Universiti Sains Malaysia (USM) itu muncul sebagai rakyat pertama mendapat gelaran profesor.

Gelaran yang diperoleh kali ini agak luar biasa. Jafri mendapat pengiktirafan tanpa perlu menduduki peperiksaan dari The Royal College of Surgeons Edinburgh (RCSE), Scotland.

Pengiktirafan tersebut ekoran kegigihan dan penglibatan beliau dalam bidang penyelidikan, pengajaran dan pembedahan neuro.

Anugerah tertinggi itu, sekali gus membuktikan bahawa kepakaran tenaga-tenaga perubatan negara ini mampu mencapai tahap dunia.

Ini termasuklah penyelidikan, pengajian dan rawatan yang terdapat di negara ini.

Bagaimanapun, Jafri Malin, yang juga seorang saintis dalam bidang ini mengakui laluannya untuk membuktikan `Malaysia Boleh’ di peringkat antarabangsa bukanlah semudah yang disangka.

Laluannya berliku. Namun, berbekalkan semangat dan keazaman, bapa kepada lima anak ini menjadikan `halangan’ sebagai satu cabaran.

Sambil mengakui bidang ini amat baru dan ramai beranggapan ia tidak sepopular lain-lain jurusan perubatan, beliau nekad mengangkat darjat bidang neurosains.

“Saya lihat tidak ramai orang yang menghormati bidang neurosains. Malah, kalau dilihat dalam tempoh empat atau tiga dekad yang lalu, kita juga tidak banyak pilihan rawatan untuk penyakit-penyakit neuro seperti angin ahmar, nyanyuk, Alzheimer, Parkinson dan sebagainya.

“Tetapi, berbeza dengan penyakit jantung, pelbagai kaedah ditawarkan seperti pembedahan, ubat-ubatan dan sebagainya,” katanya ketika ditemui, di USM, baru-baru ini.

Menceritakan pengalamannya ketika mula-mula melanjutkan pengajian di Eropah, Jafri, 41, mengakui rakan-rakan sekerjanya yang terdiri daripada `orang asing’ memandang sebelah mata kepada kemampuannya.

Basikal

Malah, tenaga pengajarnya juga ragu-ragu dengan kemampuan beliau. Namun, beliau berusaha meyakinkan tenaga pengajarnya dengan memohon tempoh selama setahun. Dalam tempoh tersebut, beliau hanya menggunakan basikal untuk berulang- alik ke hospital.

“Saya tidak berani membeli kereta, takut dihantar balik ke Malaysia,” katanya yang pernah bercita-cita menjadi doktor haiwan.

Beliau ketika itu, satu-satunya anak Melayu, juga berusaha meningkatkan kemahiran bertutur dan menulis bahasa Belanda. Hanya dalam tempoh tiga bulan beliau berjaya menguasainya.

Cabaran demi cabaran menjadikan beliau berazam untuk menjadi `putih’ lebih daripada `putih’.

“Pada ketika itu, hanya saya seorang bangsa asing, lain semua mat saleh. Jadi, saya kena lebih rajin, lebih pandai, lebih mantap dan lebih segala-galanya daripada orang putih.

“Jika orang lain berusaha dua kali ganda, saya perlu melakukannya tiga kali ganda,” jelasnya.

Mengimbas pengalaman ketika mula-mula masuk mendaftar, Jafri memberitahu, pandangan tenaga pengajarnya kepada orang Malaysia seolah-olah rakyat negara ini terlalu kuno. Dalam fikiran mereka, katanya rakyat Malaysia mungkin masih tinggal di atas pokok.

“Saya ditanya oleh tenaga pengajar mengapa saya memilih bidang ini, pengalaman membuat pembedahan yang canggih-canggih dan tidak perlu belajar jika sekadar untuk menghabiskan duit kerajaan,” ujarnya.

Namun, semua itu tidak mematahkan semangatnya. Beliau yang berkebolehan bertutur dalam empat bahasa ini, mengakui diskriminasi terhadap orang Asia yang berbangsa Melayu ketika itu cukup ketara.

“Bayangkan, hinggakan saya hendak beri panadol kepada pesakit orang kulit putih pun tidak dibenarkan.

“Alasannya, saya bukan orang kulit putih,” jelasnya yang sentiasa merendah diri.

Bagaimanapun, segala-galanya berubah dalam masa tiga bulan. Lebih bermakna, apabila beliau memperoleh penghormatan yang cukup besar ertinya dalam tempoh enam tahun. Pertama, berjaya lulus dengan cemerlang. Kedua, kerana berjaya melakukan pembedahan yang setaraf dengan kepakaran pakar perubatan Barat. Lebih manis, pada tahun akhirnya beliau dilantik menjadi Ketua Residen.

“Pelantikan ini bukan kerana kepakaran saya, tetapi semua orang-orang kulit putih ini berada di belakang saya dan mendengar nasihat saya.

“Mereka terkejut apabila saya katakan, saya adalah rakyat Malaysia. Jadi, secara tidak langsung ia adalah satu penghormatan kepada negara,” jelasnya.

(sumber Utusan Malaysia)