, , ,

ANAK MELAYU PERTAMA DAPAT BIASISWA BERPRESTIJ ‘QUEEN SCHOLARSHIP’

Contoh unggul kejujuran, integriti, rendah diri, kesetiaan, ketekunan, kesederhanaan dan profesionalisme, inilah kata-kata yang paling tepat untuk menggambarkan Allahyarham Tun Ismail bin Mohamed Ali, rakyat Malaysia pertama yang memegang jawatan Gabenor, Bank Negara Malaysia dan Gabenor Bank Pusat Asia yang paling lama berkhidmat.

Dilahirkan pada 16 September 1918 di Port Klang, Selangor, Tun Ismail menghabiskan masa pendidikan awalnya di Batu Road Boys School dan Victoria Institution di Kuala Lumpur.

Beliau merupakan orang Melayu pertama dianugerahi biasiswa Queen yang berprestij untuk meneruskan pengajiannya di Cambridge University. Beliau lulus dengan Ijazah Ekonomi pada 1941 dan kemudian diterima masuk ke Middle Temple Inns of Court, London, sebagai seorang barrister.

Setelah sembilan tahun berada di luar negara, beliau kembali ke Malaysia pada 1946 dan memulakan tugasnya dalam Perkhidmatan Awam Malaya dengan memegang pelbagai jawatan bermula dengan tugasan singkat di Kedutaan Malaya di Amerika Syarikat hinggalah menyandang jawatan penting sebagai Pengarah Eksekutif Bank Dunia dan seterusnya sebagai Gabenor Bank Negara Malaysia pada 1962 dan Pengerusi Permodalan Nasional Berhad pada 1978.

Sepanjang 18 tahun beliau di Bank Negara, iaitu dari 1962 hingga 1980, Tun Ismail meletakkan asas bagi sistem kewangan yang kukuh.

Beliau dikenali sebagai seorang yang berintegriti dan baik hati di kalangan orang-orang yang mengenalinya.

Beliau merintis kepada amalan kerja dan etika yang tinggi ke atas dirinya sendiri dan ke atas mereka yang bekerja dengannya.

Allahyarham Tun Ismail adalah Pengerusi Pertama PNB sejak PNB ditubuhkan pada 17hb Mac 1978, dan berkhidmat sehingga 17hb Oktober 1996.

Allahyarham menjadi penasihat PNB selepas dari tarikh tersebut sehingga beliau kembali ke rahmatullah pada 6hb Julai 1998.