,

ANAK PARIT PAKAR PERBANKAN DI NEGARA SWISS

SARHAN Alang Endut telah bertugas sekian lama dengan sebuah bank antarabangsa di Zurich. Sarhan mengetuai bahagian pinjaman dan pelaburan. Awal tahun 2007, Sarhan dinaikkan pangkat sebagai Naib Presiden Pertama menjadikan anak Malaysia pertama menjawat jawatan itu di institusi perbankan negara berkenaan.

Bank Mizuho terletak di Jalan Loewenstrasse 32, tempat Sarhan mencipta nama di bidang perbankan.Bank yang beribu pejabat di Jepun membuka cawangan di kawasan itu yang turut menempatkan kebanyakan bank ternama dunia.

Bukan mudah untuk mencipta nama di sini, bahasa antara cabaran paling utama bagi Sarhan.

Tugasnya sebagai Naib Presiden Pertama , perlu mengawasi pelaburan dan perhubungan dengan ibu pejabat di Jepun.Sarhan bukan sahaja perlu mempunyai hubungan baik dengan kakitangannya malah dia juga menjadi perantara di antara majikannya di Jepun dengan kerajaan Switzerland.

Bagi Sarhan, kejayaan bukan diperolehi dengan jalan mudah sebaliknya memerlukan usaha yang gigih.

“Saya memang bermula dari bawah, asalnya saya melanjutkan pelajaran di United Kingdom dalam pengajian senibina, tetapi tidak meneruskan kerana rasa diri tidak sesuai dengan senibina dan berminat dalam perbankan, jadi saya cuba nasib dan merantau ke sini”.

“Saya pernah bekerja sebagai pengutip buah strawberi sambil melanjutkan pelajaran, dan Alhamdulillah keputusan saya baik dan diterima bertugas kat bank yang kita pergi semalam”, Sarhan berhenti berbicara dan meneguk ais limau.

Adat berdagang, walaupun bertahun hidup di negara orang, namun Sarhan pandai menyesuaikan diri.

“Mungkin telah ditakdirkan maka saya bertemu jodoh dengan isteri saya Brigette dan mendapat 2 cahayamata”.

Keluarga Brigette menerima Sarhan kerana melihatkan perwatakan Sarhan yang rajin, baik ,suka membaca dan menganggap semua rakyat Malaysia sebagai masyarakat yang baik dan bersopan santun.

Ibu kepada Jessica Zainun, 19 tahun dan Timothy Azlan, 17 tahun, Brigette bertugas sebagai pegawai pemasaran di sebuah syarikat swasta di Zurich, kira kira setengah jam perjalanan dari kediaman mereka di Stadel.

Sarhan juga turut dilantik sebagai Presiden Persatuan Anak Malaysia di Switzerland beberapa tahun, menguruskan hal ehwal pelajar mahupun rakyat Malaysia yang bekerja di sana.

Anak ke 13 daripada 15 adik beradik ini, dilahirkan di Kampung Tanjung Belanja, Parit, Perak, Sarhan mendapat pendidikan awal di Sekolah Rendah Iskandar Shah sebelum melanjutkan pelajaran di Sekolah Menengah Sains Sungai Petani, Kedah.

Semasa kecil, dia meminati seni kaligrafi hasil dorongan ayahnya iaitu Allahyarham Haji Alang Endut yang juga guru kepada bekas Sultan Perak, Almarhum Sultan Idris Shah.

Waktu lapang di hujung minggu, jika tidak keluar bersantai dengan keluarga, Sarhan lebih suka melayari internet dan mendalami seni kaligrafi.

Abangnya Abdul Rahim yang pernah bertugas sebagai pengurus di sebuah bank tempatan dianggap “Mentor” oleh Sarhan kerana banyak memberi nasihat dan tunjuk ajar dalam bidang perbankan.

Bagi Sarhan, meskipun telah menjawat jawatan tinggi namun dia tidak lupa asal usul dan keluarganya.

Sekali sekala makanan bercirikan Malaysia tetap menjadi pilihan istimewa lebih lagi bila keluarga atau sahabat handai bertandang ke rumahnya.

Saban tahun, Sarhan akan cuba membawa isteri dan anak-anaknya bercuti di tanah air agar anak anaknya memahami dan mendalami budaya Melayu.

Ternyata dengan semangat dan ketabahan yang tinggi akhirnya Sarhan yang asalnya pengutip buah strawberi kini berjaya menjawat jawatan tinggi di negara orang.

Perjalanan yang dilaluinya bukanlah mudah lebih 25 tahun di bumi Switzerland, kini dia tergolong dalam insan cemerlang, gemilang dan terbilang.

Mungkin Sarhan kurang dikenali di tanahair, namun bagi masyarakat perbankan di Switzerland, amat mengenalinya sebagai satu nama besar yang turut memgharumkan nama Malaysia.

Nasihatnya sesiapa yang mahu merantau ke negara luar, perlulah berusaha lebih….

“Bila kita sudah diberi kepercayaan untuk sesuatu tugas, lakukan dengan terbaik, jujur dan amanah…….dan sebagai rakyat Malaysia buktikan kita duduk sama rendah, berdiri sama tinggi dengan mereka.Anak Anak Malaysia memang hebat dan boleh berjaya di mana mana pun di muka bumi Allah ini…..

(Petikan dari blog http://mazlinnordin.blogspot.my. Ia ditulis kira-kira enam tahun lepas. Pencarian terbaru menunjukkan jawatan terakhir Sarhan adalah Vice Director Operations di Bank Julius Baer and Co )