, , ,

BRAHIMS…PEMBEKAL MAKANAN TENTERA TERBESAR!

Pada tahun 1986, pengasasnya Datuk Ibrahim Hj Ahmad Badawi telah menubuhkan Dewina Food Industries Sdn. Bhd (DFI) bersama usahawan dari Jepun, Tatsunobu Abe.

Kilang Dewina didirikan di Bangi, Selangor dan pengeluaran produk pertama di bawah jenama Brahim’s telah dilancarkan pada tahun 1988.

Ketika itu kilang Dewina mendapat lesen pengilangan dan status peneraju pertama sebagai pengeluar produk berasaskan kantung retort yang pertama di Malaysia yang dianugerahkan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa & Industri (MITI) dan membolehkan pengecualian cukai selama lima tahun.

Dewina Food Industries merupakan pengeluar ke tiga di dunia yang mengkomersialkan pemprosesan kantung retort.

Melalui teknologi yang dibawa ini juga, berlaku transformasi rangsum tempur (ration pack) untuk Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dari penggunaan tin kepada jenis kantung retort.

Bungkusan retort adalah pembungkusan makanan yang dicipta dengan pemprosesan aseptik yang diperbuat daripada pelbagai lapisan fleksibel laminat.

Teknologi ini membenarkan pensterilan pelbagai makanan dan minuman bermula daripada air kepada makanan masak, thermo-stabilized (rawatan haba) kalori tinggi, (purata 1,300) makanan/hidangan, sedia untuk dimakan atau Meals Ready-to-Eat (MREs) yang boleh dimakan sama ada sejuk atau direndam dalam air panas.

Kantung retort diperkenalkan untuk kemudahan ketenteraan pada tahun 1992 di Amerika Syarikat (AS).

Ia telah dibangunkan oleh United States Army Natick R&D Command, Reynolds Metals Company dan Continental Flexible Packaging yang bersama-sama menerima Anugerah Kejayaan industri Teknologi Makanan pada tahun 1978.

Kantung retort mula digunakan sebagai bekalan makanan dalam tentera, makanan angkasa, makanan perkhemahan.

Menyingkap sejarah syarikat itu, Ibrahim berkata, pada awal penubuhannya Brahim’s lebih tertumpu membekalkan makanan pek kepada tentera Malaysia, kemudian kepada pasukan Pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) serta pasukan tentera di beberapa negara lain.

“Pada masa itu, kami adalah satu-satunya pembekal makanan halal tentera di dunia. Selama enam hingga tujuh tahun pertama operasi kami hanya menumpukan kepada penghasilan makanan pek untuk tentera. Hanya selepas disenaraikan di Bursa Malaysia pada 1995 kami mula memasuki pasaran komersial,” katanya.

Ibrahim berkata syarikat melabur kira-kira RM40 juta bagi membangunkan sebuah kilang di Jordan yang beroperasi sejak setahun setengah lalu.

“Saiz kilang di Jordan adalah tiga kali lebih besar berbanding kilang kami di sini, dan keutamaannya membekalkan makanan tentera,” katanya.

Mengenai perkongsian dengan SATS Ltd yang berpangkalan di Singapura, beliau berkata Brahim melihat SATS sebagai rakan kongsi strategik kerana ia beroperasi di 43 lapangan terbang di seluruh dunia.

“Mereka juga mempunyai perniagaan bukan penerbangan yang sedang kami teliti,” katanya.

Katanya Brahim’s juga mahu mengurangkan penggantungan kepada perniagaan penerbangan antara 50 dan 60 peratus memandangkan syarikat terlalu bergantung kepada perniagaan itu sejak sekian lama.

Pada Disember tahun lepas, Brahim’s melupuskan 49 peratus pegangan dalam Brahim’s Airline Catering Holdings Sdn Bhd kepad SATS pada harga RM218 juta.

Pada masa ini Brahim’s menyediakan perkhidmatan kepada 38 syarikat penerbangan termasuk British Airways.

“Buat masa ini pelanggan terbesar kami ialah Malaysia Airlines diikuti penerbangan tambang rendah AirAsia dan Emirates Airline yang berpangkalan di Dubai,” katanya.

sumber