“Tahu kau mengapa aku sayangi kau lebih dari siapa pun ? Karena kau menulis. Suaramu takkan padam ditelan angin, akan abadi, sampai jauh, jauh di kemudian hari.” - Pramoedya Ananta Toer

,

BUKU KONFENSI PREBET ADAM DEDAH KEBENARAN

Buku Konfesi Prebet Adam hasil nukilan Syahril A. Kadir sebuah karya yang dapat membersihkan nama Almarhum Sultan Iskandar yang dituduh membunuh adik Pre­bet Adam dalam satu kejadian amuk di Chow Kit pada 1987.

Sebelum ini ramai membuat andaian dan mempercayai kononnya adik Prebet Adam benar-benar dibunuh oleh Almarhum Sultan Iskandar walaupun tiada sebarang bukti yang boleh menyokong dakwaan tersebut.

Buku Konfesi Prebet Adam ditulis berdasarkan pengalaman Syahril melalui sesi temubual dan kajian yang dijalankan ketika dia bertugas sebagai wartawan jenayah malah dia memilih untuk merungkai kisah ini kerana mahu masyarakat tahu akan kebenaran yang berlaku ketika itu.

Lebih menarik, Syahril turut menegaskan sekiranya benar adik Prebet Adam dibunuh mengapa kuburnya masih tidak ditemui dan sekiranya insiden itu benar-benar terjadi mengapa sehingga kini tiada mana-mana ahli keluarga mangsa tampil mengesahkan pembunuhan yang sudah mencecah 30 tahun.

Buku terbitan Dubook Press Sdn. Bhd. padat dengan pelbagai bukti, ia mengemukakan beberapa fakta lengkap seperti nota yang ditulis oleh Prebet Adam, keratan-keratan akhbar yang melibatkan kes, surat akuan berkanun serta keputusan penghakiman.

Syahril menerusi laman sosialnya turut menegaskan, walaupun ada pihak yang masih ragu-ragu dengan kisah tersebut, dia tidak akan berganjak malah niatnya hanya ingin melangsaikan tanggungjawab dan mendedahkan kebenaran.

“Ramai yang bertanya me­ngapa saya mengangkat subjek Prebet Adam, seorang lelaki yang pernah didapati bersalah kerana mengamuk di Chow Kit hampir 30 tahun lalu, malah pernah disabitkan membunuh. Jawapannya mudah. Kebenaran tetap kebenaran walaupun ia mengambil masa 1,000 tahun untuk dibuktikan.

“Selama 30 tahun Adam difitnah kononnya hendak membalas dendam di atas kematian adiknya sedangkan perkara tersebut tidak pernah timbul sama sekali. Hakikatnya Adam mengamuk kerana dia menjadi mangsa penderaan fizikal dan seksual yang di luar batas kemanusiaan oleh seniornya di dalam sebuah kem tentera tempat dia bertugas,” katanya.

Katanya, dia tetap mengambil risiko menulis buku itu walaupun ada penerbit yang menolak cadangan asal untuk membukukan peristiwa tersebut atas alasan tertentu.

“Saya hanya seorang penulis ‘kecil’ dan tidak mungkin dapat meyakinkan seluruh masyarakat agar ‘menghadamkan’ penjelasan hampir 200 muka surat dalam buku ini yang lengkap dengan gambar, dokumen mahkamah, namun saya tidak akan berputus asa kerana kalau saya tidak melakukannya sekarang, bila pula saya hendak berbuat demikian?

“Saya bukan anak Johor untuk membela sultannya. Saya juga bukan ahli keluarga Adam untuk mempertahankan tindakannya. Tetapi saya adalah manusia yang diberikan tanggungjawab oleh Tuhan untuk memperkatakan kebenaran walaupun ia pahit untuk ditelan,” katanya.

UTUSAN MALAYSIA

Back to Top