,

China Sedari Kepentingan Daftar Paten, Kita Bila?

DALAM siri-siri sebelum ini kitaorang dah bercerita mengenai lima pecahan harta intelek yang boleh didaftarkan oleh pengguna iaitu paten, cap dagangan, reka bentuk perindustrian, petunjuk geografi dan hak cipta.

Bab cap dagangan kitaorang dah hurai panjang lebar, begitu juga bab rekaan perindustrian.

Hari ini kitaorang nak sentuh mengenai PATEN pula supaya korang faham.

Baik, apa itu paten?

Paten adalah hak eksklusif yang diberikan terhadap suatu reka cipta, sama ada ia adalah suatu produk atau proses untuk melakukan sesuatu yang baru atau penyelesaian teknikal ke atas sesuatu masalah.

Untuk pengetahuan korang, paten dilindungi selama 20 tahun dari tarikh pemfailan!

Kalau korang ingat paten ni ‘benda kecil’, meh kitaorang nak cerita pasal negara China.

Republik berkenaan yang terkenal dengan pembuatan barangan tiruan pun dah mula serius bab paten ni.

Antaranya mereka baru-baru ini mengambil tindakan drastik apabila mengumumkan mahu menyekat kemasukan jenama Apple ke pasaran tempatan diaorang.

China sudah pun menghalang akses perkhidmatan Apple iBookstore dan iTune Movies sebelum ini.

Mahkamah di sana turut mengarahkan Apple menggantung penjualan iPhone 6 dan 6 Plus berikutan halangan undang-undang yang dikemukakan sebuah syarikat di Shenzen. Ini semua sebab isu paten!

Menurut laporan, iPhone telah melanggar paten reka bentuk untuk model 100C yang dihasilkan syarikat Shenzhen Baili.

Syarikat itu mendakwa iPhone 6 dan iPhone 6 Plus hanya mempunyai ‘perbezaan kecil’ dengan 100C menyebabkan ramai pelanggan gagal mengecam dan keliru dengan kedua-dua jenis peranti ini.

Oleh itu kes diklafikasikan dalam kategori perlindungan hak paten kata penguasa Pejabat Harta Intelek Beijing.

Pun begitu jualan diteruskan sementara menanti keputusan mahkamah Beijing apabila Apple membuat rayuan terhadap keputusan tersebut.

Ingin kitaorang tegaskan di sini, pendaftaran paten amat penting bagi memastikan sesuatu ciptaan tidak ditiru dan menghalang orang lain dari menggunakan atau menjual produk tersebut di Malaysia.

Pendafaran sesuatu paten boleh dilakukan di Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO).

Apapun kitaorang nak bagitahu awal-awal, pendaftaran paten di Malaysia hanya melayakkan perlindungan di Malaysia sahaja tau.

Jika korang ingin meluaskan perlindungan ke negara lain maka korang harus melakukan pendaftaran di setiap negara yang diingini.

Agak menyedihkan sebenarnya, tahap pendaftaran paten di Malaysia ketika ini masih rendah jika dibandingkan dengan negara-negara maju.

Di Korea Selatan, syarikat terbesarnya iaitu Samsung memiliki lebih 25,000 paten didaftarkan manakala di Jepun menerusi percetakan kedua terbesar di dunia iaitu Topan Printing Company telah menghasilkan 1,300 permohonan paten sejak tahun 1998.

Begitu juga dengan Massachusettes Institute of Technology (MIT) yang terkenal dengan memiliki jumlah paten yang besar di kalangan institusi pengajian tinggi di Amerika Syarikat.

Tidak banyak perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang mengetahui pentingnya mendaftarkan paten masing-masing sehingga wujudnya pertikaian sama ada di dalam dan luar negara.

Selain kesedaran yang kurang, kebanyakan mereka merasakan proses sedemikian sebagai mahal dan membebankan.

Sebetulnya, lebih banyak PKS perlu mendaftar rekaan produk masing-masing di MyIpo bagi tujuan melindungi harta intelek mereka sebelum melakukan usaha pengkomersialan.

Malaysia dilihat masih di belakang negara-negara maju dalam melindungi paten produk masing-masing iaitu berada di belakang Jepun, Amerika Syarikat, Eropah, China dan Singapura.

Jika kesedaran dapat ditingkatkan untuk mendaftarkan paten produk masing-masing, harta intelek sesebuah syarikat dapat dilindungi sekali gus memberikan kekuatan dan peningkatan dalam produktiviti serta keuntungan kepada syarikat tersebut.

Kekangan utama yang dihadapi oleh PKS di negara ini adalah kos untuk memfailkan paten rekaan produk masing-masing.

Sebahagian besar pemain industri beranggapan bahawa proses memfailkan paten produk masing-masing ke MyIPO menelan belanja yang tinggi, namun, ia sebaliknya.

Dan ini perkara yang ditunggu-tungu…berapakah jumlah kos permohonan paten dan perbaharuan utiliti?

Jumlah kos bagi permohonan paten cuma RM1,390 sahaja!

Korang perlu sedar, kos yang diperlukan untuk memfailkan paten perlulah dianggap sebagai pelaburan kerana pulangan lumayan yang ditawarkan bagi tempoh jangka panjang.

Ada banyak kes di mana pengusaha mula bengang dan nak saman pesaing mereka bila sedar paten mereka telah ‘dirompak’ sedangkan sebelum itu mereka tidak pernah mengendahkan saranan untuk mendaftarkan paten tersebut.

Akhirnya apa jadi?

Sudahlah terpaksa mengeluarkan kos guaman yang mahal, lepas tu pula terpaksa berhadapan dengan kemungkinan kes itu ditangguhkan, ada yang makan masa hingga bertahun!

Ini semua menyebabkan mereka terpaksa mengeluarkan wang ringgit yang banyak selain penat lelah ulang-alik ke mahkamah.

Jadi kenapa perlu berbuat demikian sedangkan kita dah ada wadah atau pilihan untuk mengelakkan perkara sebegitu terjadi dengan mendaftarkan paten kita itu?

Bila paten korang didaftarkan, korang mempunyai hak untuk menggunakan reka cipta yang dipatenkan atau memberi lesen kepada orang lain bagi menggunakan reka cipta tersebut.

Korang juga dibolehkan untuk menjual hak berkenaan kepada orang lain yang akan menjadi pemilik baru kepada reka cipta tersebut.

Apapun sebelum memohon perlindungan paten, hendaklah dipastikan sesuatu reka cipta itu adalah benda BAHARU dalam dunia dan belum pernah dihasilkan.

Bagaimana tu?

Korang boleh buat pencarian atas talian di IP online search kat https://iponline.myipo.gov.my/iponline, pergi ke ibu pejabat atau mana-mana pejabat MyIPO untuk membuat carian tersebut.

Jadi apa tunggu lagi – takkan dah terhantuk baru nak tergadah kot? – MYNEWSHUB.CC