,

KAPT FAUWAZ DARI MEKANIK KE PILOT JET PERIBADI

DI SAAT rakan-rakan sebayanya memasang angan-angan untuk memasuki universiti selepas tamat SPM, anak muda dari Sabak Bernam, Selangor ini pula memasang cita-cita sebaliknya. Walaupun mendapat tawaran ke IPTA, Muhammad Fauwaz Zamzam tahu – bukan itu yang sedang berada dalam benak fikirannya.

Dia mahu terbang tinggi ke awan biru. Lebih tepat, menjadi juruterbang!

Namun keinginannya untuk mendaftar sebagai pelatih penerbangan di Akademi Penerbangan Melaka (MFA) musnah apabila permohonannya untuk mendapatkan pembiayaan ditolak oleh beberapa institusi. Dengan kos mencecah ratusan ribu ringgit, apalah daya anak kepada seorang guru agama ini untuk meneruskan hajat yang diidamkan itu.

Disebabkan terlalu obses dengan dunia penerbangan, Fauwaz nekad untuk bekerja di lapangan terbang, tak kisah, walaupun hanya ‘di bumi, bukan di langit’.

” Untuk pengetahuan anda, benda pertama yang saya buat adalah bekerja sebagai mekanik, bukan mekanik juruterbang, tetapi mekanik kereta dan lori yang anda lihat banyak di lapangan terbang itu. Memang lucu kalau diimbas kembali, tetapi saya nekad, janji saya boleh berada ‘dalam lingkungan’ dunia penerbangan walaupun cuma melihat pesawat terbang dan mendarat begitu saja.

” Saya enggan menyerah kalah, dalam diam saya menyertai kelab penerbangan persendirian. Kosnya lebih murah dari akademi penerbangan iaitu kira-kira RM30,000…duit gaji saya sebagai mekanik habis kat situ saja. Cuma tak sempat habis, tetapi sempat jugalah buat latihan penerbangan solo,” kata Muhammad Fauwaz.

Beliau kemudian mendapat tawaran untuk mengikuti latihan teknikal dalam bidang penyelenggaraan pesawat di Mara Northrop Rice Institute (MNRI) di Jasin, Melaka. Tamat pengajian, Fauwaz diterima bekerja sebagai juruteknik di Air Asia.

Ketika di Air Asia, cita-citanya kembali berputik apabila pengasas Air Asia, Tan Sri Tony Fernandes ‘membuka peluang’ kepada staff mereka yang berminat untuk memohon mengikuti latihan penerbangan bagi menjadi seorang juruterbang.

Ia, menurut Fauwaz, ibarat orang mengantuk disarungkan bantal kerana inilah karier yang diidam-idamkannya selama ini.

” Namun ia bukan semudah yang disangka kerana seperti mana pemohon yang lain, saya juga kena mengikuti proses tapisan yang ketat. Alhamdulillah, kerana pengalaman saya sebagai juruteknik pesawat dan pengalaman mengikuti latihan di kelab penerbangan dulu banyak membantu saya dalam temuduga. Paling menarik, saya menjalani latihan penerbangan di MFA, tempat di mana saya gagal untuk masuk dulu disebabkan faktor kewangan,” katanya.

Setelah menjalani latihan kira-kira 15 bulan, Fauwaz lulus sebagai juruterbang dan pesawat pertama yang dipandunya adalah dari jenis Boeing 737-300. Kira-kira enam bulan kemudian, dia ditukarkan ke Johor Bahru. Selepas, itu beliau mula mengemudi pesawat Airbus A320 dan seterusnya Airbus A330.

Pada tahun 2010, Fauwaz mengambil keputusan berhijrah ke MasWings dan berpindah pula ke Kota Kinabalu. Keputusan ini sangat mengejutkan rakan-rakan juruterbang yang lain kerana dia bertindak meninggalkan ‘pesawat besar ke pesawat kecil’ – lebih tepat pesawat berkipas.

Setahun kemudian, dia meninggalkan pula MasWings dan menyertai syarikat Berjaya Air sehinggalah ke hari ini.

” Saya faham persepsi rakan-rakan, maklumlah saya pindah ke pesawat kecil berkipas sedangkan kami dah biasa bawa pesawat besar namun ada perkara yang lebih memuaskan hati saya daripada hanya bercakap dalam soal saiz pesawat. Bayangkan ketika menjadi juruterbang di MasWings dan Berjaya Air, saya terbang ke kawasan-kawasan pendalaman, merentasi rimba yang luas terbentang serta pulau-pulau yang indah.

” Malah pada tahun 2011, Berjaya Air mendapat kepercayaan untuk menerbangkan para pekerja lombong emas dari Cairn, Australia ke Pulau Lihir, Papua. Saya adalah antara juruterbang yang terpilih untuk tugasan tersebut. Cabaran menerbangkan pesawat ke satu lokasi yang terpencil dan mencabar seperti ini tak mungkin saya dapat kalau memandu pesawat komersil yang besar saiznya itu,” ujarnya.

Kini, ‘sayap’ Fauwaz terus berkibar apabila syarikatnya memberi tanggungjawab kepada beliau untuk mengendalikan dua jet peribadi yang dibeli mereka – Challenger 300 dan Global Express 5000. Dua buah jet eksekutif ini disewakan kepada ramai VVIP, tokoh korporat dan kerabat Diraja yang menggunakan perkhidmatan tersebut hingga ke benua Eropah.

Siapa sangka, dalam usia semuda 35 tahun, daripada hanya seorang mekanik kereta dan lori, anak kampung dari Sabak Bernam ini mencapai satu tangga kejayaan yang tidak pernah pun difikirkannya sebelum ini.

” Saya tidak melihat karier ini dari sudut glamour…betul ia menjanjikan pendapatan yang besar dan ‘tiket’ untuk bermewah-mewah, namun itu bukan saya. Saya anak seorang ustaz, disiplin agama yang diterapkan dalam diri saya akan saya bawa ke mana-mana walaupun saya ditakdirkan tidak mengikut jejak langkahnya.

” Sama ada penumpang saya rakyat biasa atau super VVIP macam sekarang, keselamatan adalah kunci utama. Walaupun berpangkat kapten dan telah mengemudi pelbagai jenis pesawat, saya tetap mengikuti latihan demi latihan di dalam mahupun di luar negara untuk meningkatkan kemahiran serta kecekapan yang ada.

“Berbagai ragam dan karenah penumpang telah saya temui…namun itu asam garam sebagai juruterbang. Perjalanan masih jauh, masih banyak yang perlu saya tempuh, tetapi saya bersyukur kerana Allah terus bersama saya,”

kata Ketua Operasi Penerbangan Berjaya Air ini mengakhiri perbualan kami.