,

DOKTOR ASAL PENANG 34 TAHUN MERAWAT PELARIAN PALESTIN!

Sepanjang zaman mudanya, Dr Ang Swee Chai merupakan penyokong kuat penubuhan negara Israel dan rejim Zionis.

Persekitaran ketika belajar di Singapura membentuk sikapnya itu, malah beliau pernah menyertai acara meraikan kemenangan Israel dalam Perang 6 Hari pada 1967.

Namun segala-galanya berubah buat doktor ortopedik kelahiran Pulau Pinang itu – pendirian dan perjalanan hidupnya – selepas menyertai sukarelawan perubatan ke kem pelarian rakyat Palestin di Beirut, Lubnan pada 1982.

Menetap di London ketika itu, langkah tersebut diambil selepas mengikuti laporan pertempuran antara Israel dan Palestine Liberation Organization (PLO) di negara itu, yang memaparkan gambar “kanak-kanak dibunuh dan hospital dibom”.

“Naluri Kristian saya tahu ia adalah salah. Tuhan mengarahkan kita untuk menyebarkan kasih sayang, bukan saling berbunuhan,” katanya.

Kejutan pertama menantinya di sana apabila melihat sendiri situasi sebenar yang jauh lebih dahsyat berbanding apa yang melepasi “penapisan” untuk siaran televisyen dan akhbar.

“Mereka tidak lagi boleh pulang ke rumah dan tanah air. Mereka bukan pengganas, tetapi baik, penyayang dan murah hati,” katanya.

Beliau pada awalnya menganggap sukarelawan akan terus menjaga kanak-kanak, wanita dan warga tua di kem pelarian sebaik PLO berundur dari Lubnan.

Namun kejutan kedua tiba 3 minggu kemudian, iaitu apa yang dicatat sejarah sebagai penyembelihan Sabra-Shatilla, di mana 3,000 penghuni kem pelarian dibunuh militia sayap kanan Parti Phalangist Lubnan – sekutu rejim Israel.

“Berdiri di depan badan yang tidak lagi bernyawa, saya meminta keampunan daripada Tuhan. Selama 33 tahun saya menyokong Israel kerana prejudis dan buta.

“Namun dalam ajaran Kristian, penyesalan bukan sekadar memohon maaf. Saya berdoa kepada Tuhan agar memberikan seluruh hidup saya untuk bekerja dan membantu mereka. Saya rasa Tuhan makbulkan doa itu,” katanya yang kini berusia 67 tahun.

Dr Ang pernah berkhidmat di Lubnan, Gaza dan Tebing Barat, selain menjadi penasihat ortopedik kepada PBB dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) ketika Intifada Pertama Palestin sekitar 1987-1993.

Beliau juga mengasaskan Medical Aid for Palestinian bersama suaminya Francis Khoo dan sekumpulan rakan. Pada 1987, Yasser Arafat mengurniakan anugerah “Star of Palestine”, penghargaan tertinggi buat individu yang berkhidmat kepada rakyat Palestin.

Bukunya bertajuk “From Beirut to Jerusalem” yang merakam pengalaman di sana, termasuk menyaksikan penyembelihan Sabra-Shatilla, dilancarkan bekas perdana menteri Tun dr Mahathir Mohamad.

Diminta menceritakan pengalamannya yang menyayat hati, beliau berkata; “Kanak-kanak dibunuh, perempuan dirogol di depan keluarga dan masyarakat antarabangsa yang tidak peduli. Saya boleh teruskan tetapi ia akan membuatkan anda menangis.”

Namun apa yang memberikan harapan kepadanya untuk terus memperjuangkan nasib rakyat Palestin adalah semangat tidak berputus asa mereka.

“Bom tidak dapat menghancurkan semangat mereka. Apabila rumah dihancurkan, mereka akan membinanya semula.

“Anak Palestin melihat pelbagai tragedi – kematian, kubur besar, kemusnahan – namun mereka tidak takut. Ini memberi semangat kepada saya untuk terus mencurahkan bakti kepada mereka,” katanya.

Beliau menceritakan sepanjang 34 tahun mendedikasikan hidupnya merawat pelarian Palestin, tidak pernah sekalipun beliau ditanya tentang agama anutannya.

“Tidak pernah walaupun sekali. Dan mereka juga tidak pernah cuba membuatkan saya memeluk Islam. Bagi mereka, saya seperti saudara sendiri.

“Tetapi saya tidak boleh berbuat apa-apa apabila mereka memanggil saya ‘doktor Cina’, sebab memang saya memang seperti orang Cina,” katanya diiringi ketawa kecil.

(sumber Free Malaysian Today)