,

DR ATASHA WANITA MELAYU PERTAMA PAKAR BEDAH JANTUNG SINGAPURA

CITA-CITANYA semasa kecil ialah untuk menjadi seorang peguam di sebuah firma miliknya sendiri.

Tetapi, kerana gagal dalam peperiksaan sejarah dan menyedari kelemahannya dalam subjek-subjek berunsur sastera, beliau mengalihkan tumpuannya kepada bidang sains pula.

Ternyata beliau membuat pilihan yang tepat.

Kini, beliau bergelar doktor.

Malah, lebih istimewa lagi, Dr Atasha Asmat, 43 tahun, adalah wanita Melayu pertama menjadi pakar bedah jantung di Singapura.

Beliau, yang berasal dari Malaysia, mula bertugas di Singapura sejak 2003 dan meraih gelaran itu selepas lulus peperiksaan pembedahan yang dinamakan Joint Specialty Fellowship Cardiothoracic Surgery sekitar lewat tahun lalu.

Ini bermakna anak kedua daripada empat beradik itu layak melakukan pembedahan ke atas pesakit yang mengalami masalah jantung dan paru-paru.

Kini, Dr Atasha ialah Konsultan Bersekutu di Jabatan Penyakit Jantung, Toraksik dan Pembedahan Vaskular di Pusat Jantung Universiti Nasional Singapura (NUHCS), Sistem Kesihatan Universiti Nasional.

Sejauh ini, Dr Atasha telah melakukan beberapa pembedahan jantung dan paru-paru ke atas para pesakit dewasa.

TURUT JADI PENSYARAH

Selain menjalankan tugas sebagai pakar bedah, Dr Atasha turut menjadi pensyarah kepada mereka yang bakal berkhidmat dalam industri penjagaan kesihatan.

Pada masa yang sama, beliau juga menjalankan beberapa penyelidikan berkaitan jantung dan paru-paru.

Sepanjang bekerja di jabatan yang sama, Dr Atasha masih mendapati cabaran utama tugasnya ialah menyampaikan berita kematian kepada keluarga pesakit.

“Semua doktor akan berasa sedih, simpati dan hampa setiap kali pesakit mereka tidak dapat diselamatkan.

“Tetapi itulah hakikatnya. Sebagai seorang Islam, saya perlu berusaha sedaya upaya dalam menjalankan tugas saya. Tapi akhirnya, Tuhan juga yang menentukan,” katanya dengan tenang.

PENDIDIKAN

Dr Atasha mula menerima pendidikan di Sekolah Menengah Perempuan Sri Aman, Malaysia, sebelum melanjutkan pengajiannya ke Sunway College di sana di mana beliau meraih Sijil Am Pelajaran (GCE) Peringkat ‘A’.

Beliau kemudian melanjutkan pengajian ke Royal College of Surgeons di Dublin, Ireland, selama enam tahun. Di sana, beliau meraih ijazah Sarjana Muda Perubatan dan Pembedahan (MBBS).

Semasa di Wrexham Maelor General Hospital yang terletak di utara Wales, beliau menjalani latihan pembedahan asas selama dua tahun.

Sepanjang tempoh tiga tahun di United Kingdom (UK), beliau juga berpeluang mendalami pengetahuannya dalam bidang perubatan di beberapa pusat penjagaan kesihatan seperti di High Wycombe General Hospital.

Dr Atasha, yang fasih berbahasa Italy, dan kini mengikuti kelas bahasa Sepanyol, menambah:

“Rancangan awal saya ialah untuk melanjutkan pengajian di UK dan kemudian pulang ke Malaysia untuk bekerja.

“Saya sempat bekerja di Hospital Besar Pulau Pinang selama satu setengah tahun sebagai pegawai perubatan sebelum saya terima satu peluang untuk bertugas di sini pada 2003.

“Memang pada mulanya sukar untuk saya menyesuaikan diri dengan suasana dan gaya hidup serta sistem pekerjaan di Singapura yang begitu pantas.

“Tapi lama-kelamaan dengan sokongan rakan-rakan sekerja, saya dapat menyesuaikan diri dengan keadaan sekitaran,’’ katanya lagi.

PILIH JANTUNG

Bidang jantung dan paru-paru menjadi pilihan Dr Atasha selepas beliau menyaksikan satu pembedahan oleh sepasukan doktor semasa mengadakan kunjungan ke Institut Jantung Negara di Kuala Lumpur.

“Tiada siapa yang pengaruhi saya memilih bidang perubatan, khususnya bidang jantung dan paru-paru.

“Sebenarnya minat itu bermula semasa saya melihat pembedahan yang dijalankan itu yang amat mencabar dan begitu teknikal.

“Selepas menyaksikannya, saya bulatkan tekad untuk pilih bidang ini,” jelasnya.

Ditanya perasaannya sebagai wanita Melayu pertama menjadi pakar bedah jantung di negara yang bukan tanah tumpah darahnya, Dr Atasha menjawab:

“Tidak kira di mana pun, niat saya yang utama ialah menggunakan kepakaran yang saya miliki ini demi kebaikan masyarakat sejagat.”

KELUARGA

Dr Atasha begitu merendah diri apabila ditanya tentang keluarganya. Tetapi, selepas disoal beberapa kali, beliau akhirnya mendedahkan sedikit latar belakang keluarganya.

Bapanya, Tan Sri Asmat Kamaludin, 65 tahun, merupakan mantan Setiausaha Agung di Kementerian Dagangan dan Industri Antarabangsa Malaysia.

Ibunya pula, Dr Habibah Salleh, 64 tahun, ialah mantan pensyarah bahasa Inggeris di Universiti Institut Teknologi Mara.

 

Bagaimana pula tentang rancangan masa depannya?

Dengan ringkas beliau menjawab: “Menguruskan jabatan saya sendiri.”