, ,

TAN SRI G – PEMILIK WESTPORT!

Tan Sri G. Gnanalingam atau lebih dikenali sebagai Tan Sri G bukan datang dari keluarga kaya. Bekas penuntut Maktab Tentera Diraja (RMC) Sungai Besi ini nyaris tidak dapat meneruskan pengajian di Universiti Malaya bila mendiang bapanya meninggal dunia. Nasib baiklah pada saat-saat akhir, beliau menang satu pertandingan ‘teka silang kata’ dalam akhbar Malay Mail dan memperoleh hadiah wang tunai sebanyak RM7,000 untuk beliau membayar yuran pengajian!

Tan Sri G mendedahkan kerjanya pertamanya adalah menjadi ejen rokok untuk syarikat Malaysian Tobacco Company. Maknya hampir pengsan ketika itu bila tahu beliau akan bekerja dengan syarikat rokok! Namun kegigihan Tan Sri G membuatkan beliau naik dari satu tangga ke satu tangga hingga berjaya menjadi Pengarah Pemasaran dalam usia 34 tahun. Apabila kerajaan mengharamkan pengiklanan rokok dalam media, Tan Sri G lah yang menghasilkan idea agar iklan rokok ditukar dengan iklan pakaian, fesyen dan pelancongan – tetapi masih guna jenama rokok yang sama.

Akhirnya walaupun iklan rokok tak boleh keluar, tetapi syarikat rokok still dapat mempromosi jenama mereka atas nama baju, fesyen etc. Kreatif tak?

Ketika beliau dalam usia 40an, stesen TV3 mula dilancarkan. Ini menyebabkan nama RTM terus tenggelam, pengiklan juga lari kepada TV3 hingga kerajaan pening kepala macam mana nak bantu RTM yang semakin kontang poketnya. Masa ni Tan Sri G dapat idea. Beliau berhenti kerja dari syarikat rokok itu dan menubuhkan sebuah team yang dinamakan ‘G-Team Consultant’. Pasukan itu kemudiannya membantu ‘menyusun semula’ program di RTM termasuk membawa masuk program kartun. Akhirnya daripada hilang pendapatan lebih separuh dari TV3, Tan Sri G berjaya menaikkan pendapatan RTM kepada RM100 juta dan seterusnya RM386 juta pada tahun 1996!

Pada tahun 1989, Malaysia jadi tuan rumah Sukan SEA. Kerajaan menetapkan yang penganjuran sukan itu at least boleh bawa untung sehingga RM5 juta kepada negara. Orang paling tepat yang boleh buat kerja ni adalah Tan Sri G. Beliau dipilih atas kejayaannya bawa keuntungan beratus juta untuk RTM. Apa yang Tan Sri G buat adalah dengan membawa masuk penajaan/ sponsorship. Akhirnya, bukan saja Malaysia juara keseluruhan Sukan SEA ketika itu, Tan Sri G juga berjaya membuatkan negara dapat untung RM16.5 juta, melebihi sasaran asal yang hanya RM5 juta itu!

Apabila jutawan Ananda Krishnan memperkenalkan Astro pada rakyat Malaysia pada tahun 1996, Tan Sri G merasakan beliau kena beralih bidang lagi. Rokok sudah, media sudah. Apalagi?
Peluang keemasan datang kena pada tempatnya apabila kerajaan ketika itu bercadang untuk mewujudkan sebuah lagi pelabuhan selepas Port Klang bagi menyaingi pelabuhan Singapura. Tan Sri G yang ketika merupakan ahli lembaga pengarah Lembaga Pelabuhan Klang diminta membantu. Kerana tidak ada pengalaman tentang pelabuhan, Tan G dan kenalannya terbang ke beberapa pelabuhan kapal terkenal dunia untuk belajar sistem pengurusan pelabuhan tersebut.

Dari situ, Tan Sri G membentangkan 25 cadangan kepada kabinet mengenai bagaimana hendak mewujudkan sebuah lagi pelabuhan baru, WESTPORTS dan ia diterima! Akhirnya dalam masa sembilan bulan sahaja, WESTPORTS berjaya dibina dan Tan Sri G serta kakitangannya bekerja bagai nak gila bagi memastikan kejayaan syarikat tersebut.

Menurut kajian Tan Sri G seperti mana yang diceritakannya pada Kinibiz.com, kebanyakan kapal terpaksa menghabiskan banyak masa di pelabuhan untuk memunggah barang, sekiranya masa ini dapat dikurangkan – pelabuhan WESTPORTS pasti akan beroleh keuntungan dan menyaingi pelabuhan di Singapura. Untuk itu Tan Sri G mahu stafnya bekerja macam berada di F1. Pada tahun 2011, WESTPORTS catat rekod apabila berjaya memunggah 734 kontena dalam masa SATU JAM dengan menggunakan sembilan kren!

Dan tiga tahun lepas, WESTPORTS milik Tan Sri G berjaya disenaraikan dalam Bursa Malaysia pada harga RM2.50 sesaham dengan meraih IPO sebanyak RM2.2 bilion, sekali gus meningkatkan modal pasarannya kepada RM8.53 bilion. Kejayaan penyenaraian ini membuatkan beliau terus bergelar BILIONAIR!
Kini WESTPORTS dikendalikan anak lelakinya Ruben yang telah memeluk Islam. Untuk rekod, Tan Sri G seorang Hindu dan isterinya seorang Budhist.

Bagi Tan Sri G mudah – hargai kakitangan anda. Kata beliau, ramai orang ingat Taj Mahal dibina oleh Shah Jehan, salah – ia dibina oleh PEKERJA Shah Jehan!

SALUTE TAN SRI G!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *