,

GADIS MELAYU SINGAPURA PERTAMA PANDU BOEING!

 

LEBIH dua dekad lalu, di satu sudut Sekolah Rendah Telok Kurau, seorang murid darjah dua mendongak kagum ke langit setiap kali pesawat dari lapangan terbang berdekatan menderum membelah angkasa.

Kini, murid itu, Cik Farhain Abu Bakar, 29 tahun, memandu pesawat sebagai kerjaya.

Beliau ialah wanita Melayu setempat pertama menjadi juruterbang komersial.

Bagaimanapun, Cik Farhain, seorang Pegawai Pertama di syarikat pesawat tambang murah (LCC) Scoot-Tigerair akur tetap kagum setiap kali berada di angkasa.

“Saya kagum melihat keindahan alam… warna angkasa yang berubah apabila malam menjadi siang… semuanya.

“Rasanya, saya tidak akan jemu dengan pengalaman dan perasaan ini,” ujar Cik Farhain, yang menyertai Scoot-Tigerair akhir tahun lalu dan menjalani latihan asas selama 10 bulan.

Bersama seorang kapten, Cik Farhain kini memandu pesawat Boeing 787 Dreamliner, yang boleh membawa lebih 300 penumpang, selepas menjalani latihan asas selama 10 bulan.

Paling jauh, beliau telah memandu pesawat itu ke Jeddah, Arab Saudi, penerbangan sekitar sembilan jam dari Singapura.

Namun, pengembaraannya menjadi juruterbang memakan lebih banyak masa daripada itu.

Walau memburu diploma sains biomedikal di Politeknik Singapura selepas meninggalkan Sekolah Menengah Tanjong Katong, jiwa Cik Farhain tetap terpaut kepada kerjaya di angkasa.

Beliau mendapatkan lesen juruterbang swasta (PPL) daripada Kelab Penerbangan Belia Singapura (SYFC) pada 2004 sebelum menyertai program Jurulatih Penerbangan Kadet di Kolej Penerbangan Singapura (SFC) pada 2007.

Selang setahun, beliau meraih Lesen Juruterbang Komersial (CPL) dan seterusnya mendapat tauliahan susulan sebagai jurulatih.

Beliau menimba pengalaman hampir enam tahun sebagai jurulatih penerbangan di SFC, melatih juruterbang baru – termasuk beberapa juruterbang yang kini menjadi rakan sekerjanya.

Walau menggemari kerjayanya di SFC, ‘bisikan’ menjadi juruterbang sepenuh masa kian lantang di benaknya dan Cik Farhain menyertai Scoot-Tigerair sebagi Pegawai Kedua.

Baru-baru ini, beliau, yang berpengalaman 1,900 jam penerbangan, dinaikkan pangkat sebagai Pegawai Pertama.

Matlamat beliau seterusnya, kata Cik Farhain, adalah menjadi kapten, tanggungjawab yang memerlukan 5,000 jam penerbangan.

“Keinginan (menjadi juruterbang) sentiasa ada dalam jiwa saya… dari saat saya berada di sekolah rendah.

“Apabila saya berada di kokpit, setiap butang, peralatan bak lanjutan jari-jemari saya… saya rasa senang hati,” ujarnya.

Mungkin Cik Farhain memang mempunyai bakat semula jadi memandu pesawat. Beliau masih ingat lagi penerbangan solo pertamanya – pada 2004 – memandu pesawat enjin tunggal selama 15 minit dari Lapangan Terbang Seletar.

“Saya tidak berasa gementar atau cemas apabila jurulatih meninggalkan pesawat. Tapi saya mula sedar betapa senyap kokpit itu.

“Pada masa yang sama, saya yakin saya mampu mengawal pesawat itu tanpa bantuan jurulatih,” kata Cik Farhain dengan matanya bersinar semasa mengimbas kenangan itu.

Tugasnya ini bermakna beliau sentiasa berjauhan daripada keluarganya, kadang kala sehingga 15 hari sebulan.

Namun Cik Farhain, anak keempat dalam keluarga lima beradik, berkata beliau mendapat sokongan padu daripada anggota keluarganya.

Lagipun, beliau jarang membazir masa apabila tidak bertugas, ujar Cik Farhain, yang belum berumah tangga.

Selain bersenam – kegiatan yoga kegemarannya – beliau sedang belajar menggesek biola.

“Lautan ilmu begitu luas tetapi kita baru menimba sedikit sahaja airnya… jika boleh saya ingin terus belajar sepanjang hayat saya,” katanya.

Sumber Berita Harian Singapura