,

Hak Cipta… Kes Filem Bohsia: Jangan Pilih Jalan Hitam

MEH sini nak cerita sikit.

Pada 24 November 2014, seorang novelis, Elias Idris telah memfailkan saman terhadap Datuk Yusof Haslam, anaknya Syamsul dan Skop Production yang bertanggung jawab menghasilkan filem Bohsia: Jangan Pilih Jalan Hitam.

Elias yang menerbitkan novel itu menggunakan nama pena Anne Natasha Nita, mendakwa, terdapat banyak persamaan antara novelnya dan filem ketiga-tiga responden dari segi plot, watak dan mesej.

Yusof, Syamsul dan Skop Production kemudian telah memfailkan tuntutan balas terhadap Elias berhubung dua artikel fitnah dalam talian yang dimuat naik pada 7 Nov dan 16 November 2014.

Yusof berkata, mereka tidak pernah membaca atau mendengar mengenai novel itu dan menafikan menyalin novel itu untuk dijadikan filem mereka.

Bicara punya bicara, tahun lepas, mereka memperoleh ganti rugi RM100,000 daripada penulis novel berhubung kes saman berkenaan apabila hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membuat keputusan membenarkan tuntutan balas dikemukakan dua beranak itu dan syarikat Skop Production Sdn Bhd selaku defendan.

Ini kerana hakim ketika itu berpendapat Elias gagal membuktikan defendan melanggar hak cipta terpelihara novel “Aku Bohsia” dalam filem yang diterbitkan oleh syarikat berkenaan.

Namun kes tersebut tidak terhenti di situ.

Baru-baru ini Mahkamah Rayuan di Putrajaya membenarkan pula tuntutan Elias Idris.

Malah panel hakim memerintahkan pula responden membayar Elias Idris ganti rugi. Mereka juga membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang menolak saman novelis itu, selepas membenarkan rayuannya.
Korang nampak tak di sini betapa pentingnya soal hak cipta ini dan betapa perlu kita mendaftarkannya di MyIPO?

Sebelum pergi jauh, mari kita tengok apa yang dimaksudkan dengan hak cipta ini.

Hak cipta adalah hak eksklusif yang diberikan oleh undang-undang, untuk tempoh masa tertentu, kepada pencipta karya untuk mengawal penggunaan karya mereka.

Perlindungan hakcipta di Malaysia adalah berasaskan kepada Akta Hakcipta 1987.

Karya yang layak mendapat perlindungan harta intelek adalah karya sastera, karya muzik, karya seni, filem, rakaman bunyi, siaran dan karya terbitan.

Karya-karya tersebut dilindungi tanpa mengira kualiti dan tujuan karya berkenaan dihasilkan.

Mungkin korang tertanya-tanya, berapa lama tempoh perlindungan yang diberikan?

Jangan risau, ia akan terus wujud sehingga lima puluh tahun selepas kematiannya.

Bagi filem, rakaman bunyi dan pelaku, hak cipta wujud selama 50 tahun dari karya itu diterbitkan, dibuat penetapan untuk karya filem dan rakaman bunyi. Bagi pelaku, hak cipta itu wujud daripada persembahan dilakukan atau penetapan dalam rakaman bunyi.

Untuk hak cipta dalam siaran, perlindungan berlaku dalam cara transmisi sama ada melalui cara wayar atau tanpa wayar (wireless), tempoh selama lima puluh tahun hendaklah dikira dari mana siaran pertama kali dibuat.

Mungkin korang tertanya-tanya pula, apa hak yang korang dapat kalau daftar hak cipta kat MyIPO?

Banyak bro.

Pertama hak perundangan. Pencipta, pemilik hak cipta dan pelaku diberikan hak eksklusif untuk mengawal di bawah undang-undang hak cipta. Hak perundangan yang diberikan kepada mereka termasuk hak untuk menguatkuasakan karya berhakcipta mereka dalam kes-kes pelanggaran sama ada melalui tindakan sivil atau jenayah. Dari segi pelakuan jenayah, ia dijalankan oleh Bahagian Penguatkuasaan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) atau Polis Diraja Malaysia.

Kedua hak ekonomi. Hak ini diberikan kepada pemunya hak termasuk hak pengeluaran semula, hak penyampaian kepada orang ramai, hak untuk pertunjukan, tayangan atau permainan kepada awam, hak pengedaran dan hak sewa komersial. Hak ini boleh dilaksanakan dalam tempoh perlindungan yang dikawal di bawah Akta Hak Cipta 1987. Hak ekonomi membolehkan pemilik hak untuk memperolehi ganjaran kewangan daripada penggunaan karya-karya beliau oleh pengguna atau tujuan komersial. Hak ekonomi boleh diperolehi melalui penyerahan hak, pelesenan dan wasiat.

Ketiga hak paterniti yang membolehkan penulis untuk dikenali dan menuntut keaslian ciptaan mereka dikekalkan.

Keempat hak integriti yang membenarkan penulis untuk menghalang mana-mana pengguna dari penyelewengan, pencacatan atau pengubahsuaian yang lain kerja-kerja beliau di mana hasil daripada pengubahsuaian yang ketara akan mengubah kerja asal dan menjejaskan kehormatan atau reputasi pencipta.

Kelima hak pelanggaran hak cipta di mana sesiapa yang menggunakan mana-mana karya berhakcipta tanpa kebenaran daripada penulis, pemilik hak cipta dan pelaku, adalah merupakan suatu pelanggaran di bawah Akta Hak Cipta 1987. Di antara perbuatan pelanggaran hakcipta termasuklah:

1) pengeluaran semula apa-apa karya berhakcipta dalam apa-apa bentuk bahan melalui tayangan, pertunjukan permainan atau pengedaran kepada orang awam,

2) pengimportan salinan langgaran karya-karya berhakcipta ke negara Malaysia untuk selain daripada kegunaan persendirian yang dibenarkan;

3) pembuatan salinan langgaran karya-karya berhakcipta untuk tujuan jualan atau sewaan kepada awam;

4) penjualan, penyewaan dan pengedaran apa-apa salinan langgaran karya-karya berhakcipta dengan cara perdagangan, mendedahkan dan menawarkan untuk jualan atau sewaan;

5) memiliki salinan langgaran untuk tujuan perdagangan selain daripada kegunaan persendirian yang dibenarkan;

6) membuat pameran salinan langgaran karya-karya berhakcipta untuk tujuan perdagangan kepada orang awam;

Sekarang ni sesiapa pun boleh mendaftar secara terus karya mereka kepada MyIPO.

Untuk pengetahuan korang, jika sebelum ini mereka yang diciplak karyanya perlu pergi ke mahkamah dan membuktikan bahawa ia karya mereka adalah asli.

Namun proses ini adalah sukar untuk dilakukan dan banyak kes tersebut terpaksa diketepikan kerana kurang bukti.

Kini, setelah didaftar, MyIPO akan mengeluarkan satu sijil bahawa ia adalah karya sebenar pemunya hakcipta.

Begitu juga apabila melibatkan penerbitan buku, pihak penulis boleh membawa terus hak cipta mereka untuk didaftarkan kepada pihak MyIPO.
Untuk rekod, MyIPO juga mempunyai Sistem Pemberitahuan Secara Sukarela Hak Cipta di mana penggiat seni boleh membuktikan keempunyaan terhadap karya mereka.

Sijil pendaftaran hak cipta yang dikeluarkan oleh MyIPO akan dijadikan bukti pemilikan prima facie seseorang pemilik karya hak cipta dan boleh dikemukakan di mahkamah.

Ia merupakan suatu mekanisma pendaftaran yang membantu pemilik karya sekiranya wujud sebarang pertikaian undang-undang terhadap karya seni mereka.

Sistem ini boleh mengesan siapa pemilik asal sesebuah karya.

Jadi, korang tunggu apa lagi?-MYNEWSHUB.CC