,

HALIM ANAK MELAYU PERTAMA DAPAT PHD DARI UNIVERSITI OXFORD!

DATUK Dr. Abdul Halim Ismail merupakan anak Melayu pertama yang menggenggam ijazah Doktor Falsafah (Ph.D) Ekonomi dari Universiti Oxford, England.

Bekas Pengarah Urusan Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) yang digelar Bapa Perbankan Islam Malaysia itu merupakan seorang yang sederhana tetapi cekal hati terutama dalam soal pendidikan sehingga berjaya menerajui BIMB sebagai Pengarah Urusan yang pertama dari tahun 1983 hingga 1994.

Anak sulung dari tujuh beradik itu berasal dari Kepala Batas, Kedah menerima pendidikan awal dalam aliran agama di Maktab Mahmud, Alor Setar.

Bagaimanapun, kesedaran untuk memajukan diri sendiri membuatkan Abdul Halim mengambil keputusan untuk belajar menguasai bahasa Inggeris di kelas persendirian sehingga lulus Peperiksaan Sijil Cambridge yang melayakkannya memasuki Kolej Sultan Abdul Hamid, Alor Setar.

Kecemerlangannya dalam bidang pelajaran membolehkan Abdul Halim melanjutkan pelajaran di peringkat Ijazah Sarjana Muda Ekonomi di universiti Malaya sebelum meneruskan pengajiannya ke peringkat lebih tinggi di Universiti Oxford, England.

Beliau kemudiannya berjaya melakar sejarah sebagai anak Melayu pertama memperoleh Ph.D di bidang ekonomi dari universiti tersebut.

Abdul Halim merupakan Pengurus Besar Bank Bumiputra Malaysia Berhad (BBMB) sebelum dipilih menganggotai Jawatankuasa Penubuhan Bank Islam Malaysia Berhad yang membawa kepada penubuhannya pada 1983.

Pada tahun 2001, beliau dianugerahkan sebagai penerima Anugerah Tokoh Kewangan Islam oleh Persatuan Bank-Bank Islam Malaysia (AIBIM) atas pencapaian yang berterusan dalam bidang kewangan Islam. Abdul Halim juga merupakan Tokoh Maal Hijrah peringkat kebangsaan pada tahun 2004.

Pada tahun 2014, beliau yang menjadi rakyat Malaysia pertama dinobatkan sebagai penerima Anugerah Diraja Kewangan Islam bersempena Forum Kewangan Islam Antarabangsa (GIFF) 2014. Pemilihan beliau sebagai penerima anugerah berprestij ini adalah tepat berdasarkan pencapaian dan jasa yang disumbangkan terhadap kemajuan industri kewangan Islam negara dan antarabangsa.

Di samping mempunyai ilmu yang luas dalam bidang pengurusan ekonomi, beliau juga berkeupayaan dalam ilmu syariah yang mana banyak institusi kewangan Islam melantik beliau sebagai penasihat syariah termasuk pihak pengawal selia seperti Bank Negara Malaysia dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.

Selain menjadi Pengarah Urusan pertama Bank Islam, Abdul Halim juga pernah memegang jawatan sebagai Pengerusi Lembaga Syarikat Takaful Malaysia Bhd. iaitu syarikat takaful pertama di negara ini dan turut membantu menubuhkan BIMB Securities Bhd. (BIMB Securities), syarikat broker saham Islam pertama di Malaysia.

Di bawah bimbingan beliau, industri takaful dan institusi kewangan Islam berkembang pesat di negara ini yang kemudiannya menjadikan kewangan Islam sebagai alternatif yang semakin menarik dan pelengkap kepada kewangan konvensional.

Sepanjang saya mengenali beliau, Abdul Halim adalah seorang yang budiman dan mudah didekati biarpun mempunyai pangkat dan status yang tinggi dalam industri kewangan Islam.

Seperkara lagi yang saya kagumi mengenai beliau adalah pemikirannya yang sentiasa segar dan kontemporari meskipun usia yang semakin lanjut.

Idea-idea beliau sentiasa segar dan antara yang terbaharu yang dilontarkan semasa syarahan perdana sempena penerimaan anugerah berprestij itu adalah penubuhan Rumah Sedekah yang beroperasi secara komersial sebagai pelengkap kepada kewujudan institusi kewangan Islam yang sedia ada di Malaysia.

Beliau adalah antara model yang terbaik yang mengadunkan kepakaran dalam bidang ekonomi, pengalaman sebagai pemimpin tertinggi institusi kewangan Islam terkemuka dan kefahaman yang baik berkaitan prinsip-prinsip syariah dalam kewangan Islam.

Antara hasil kajian dan tulisan Abdul Halim yang telah diterbitkan adalah BIMB: Penubuhan dan Operasi yang diterbitkan BIMB, The Role of Islamic Instruments in Deepening Equity Markets pada tahun 1999 dan The Capital Market Masterplan: A Roadmap for Sustainable Growth & Development (2002).

Moga lebih ramai tokoh seperti beliau muncul demi membangunkan sistem ekonomi dan kewangan Islam yang berteraskan keadilan, kebajikan dan pertumbuhan selaras dengan tuntutan Syariat.

SUMBER