,

HAMIDAH…WANITA TABAH DI SEBALIK PENDERITAAN PESAKIT KANSER KANAK-KANAK HKL

BERHADAPAN dengan anak yang sedang sakit memang mampu meluluhkan hati ibu bapa, apatah lagi jika penyakit yang dihidapi cukup berbahaya seperti kanser.

Pelbagai andaian dan persepsi timbul di fikiran termasuklah kematian.

Pasti sukar menerima kenyataan tersebut tambahan dalam keadaan diri mereka sendiri kurang pengetahuan tentang kanser.

Namun bagi seorang suri rumah, Hamidah Tajuddin, 53, semua itu tidak menghalang beliau untuk terus membela dan memperjuangkan nasib anak-anak kanser ini.

Segalanya bermula apabila anak bongsunya Muhammad Syukur (yang kini berusia 12 tahun) dikesan menghidap penyakit berbahaya itu. Lebih menyedihkan anak manjanya itu juga adalah penghidap Sindrom Down dan penghidap jantung berlubang.

” Luluh hati saya kerana sudahlah ada jantung berlubang dan Sindrom Down, Syukur juga telah disahkan menghidap kanser. Pernah satu ketika Syukur pulih sepenuhnya namun ternyata ia tidak bertahan lama, sel kanser kemudian kembali menyerang dan dia terpaksa melalui semula rutin sebagai pesakit kanser yang memeritkan itu.

” Tetapi saya tahu saya tak boleh hanya menangis dan merintih. Setiap hari ketika di wad, saya bergaul dan menyelami hati ibu bapa kanak-kanak lain yang turut berkongsi kisah suka duka yang sama, dari hanya grup Whatsapp, maka tertubuhlah Kumpulan Kanak-kanak Kanser Ibu Bapa dan Sokongan Hospital Kuala Lumpur (HKL KIDS),” kata Hamidah.

Mengenai HKL KIDS, Hamidah berkata, bukan mudah sebenarnya untuk mengendalikan NGO sebegitu kerana beliau bukan saja terpaksa menjaga anaknya yang menderita kanser, tetapi pada masa yang sama terpaksa menjalankan tanggungjawab kepada para ahli yang bernaung di bawah persatuan berkenaan. Itu belum dicampur tanggungjawab hakikinya pada suami dan anak-anaknya yang lain di rumah.

Lebih mencabar kata Hamidah, ada yang beranggapan persatuan tersebut tempat mereka bergantung harap khususnya daripada segi bantuan kewangan sedangkan HKL KIDS bukanlah tempat untuk berbuat demikian.

” Kami menjalankan pelbagai program seperti bantuan beg sekolah, membawa anak-anak pesakit kanser ini pergi melawat tempat-tempat menarik bagi membolehkan mereka melupakan sejenak penderitaan yang ditanggung dan apa saja aktiviti bagi mengembalikan keceriaan mereka namun kalau mahukan bantuan kewangan, ada pelbagai agensi seperti zakat dan baitulmal yang boleh mereka rujuk.

” Tetapi ia tak semudah yang disebut, ada birokrasi yang terpaksa mereka hadapi…sebab itu saya cukup faham situasi ibu bapa pesakit kanser ini. Masalah kewangan memang lumrah apatah lagi mereka yang tinggal di luar Kuala Lumpur, namun percayalah, setakat mana yang kami di HKL KIDS boleh bantu, kita akan cuba bantu, kalau pun bukan duit, mungkin dalam segi lain seperti bantuan khidmat nasihat dan sebagainya,” katanya bersungguh-sungguh.

Bagi suami Hamidah, Profesor Madya Dr. Shukri Mohamad, ketabahan dan kesungguhan isterinya dalam mengendalikan anak mereka di wad kanser, keluarga di rumah dan pada masa yang sama persatuan berkenaan adalah sesuatu yang cukup mengagumkan.

” Bayangkan adakalanya dia menerima berita kematian di hospital, dia akan terus ke bilik mayat di HKL dari rumah kami di Bangi. Namun sebagai seorang suami saya sentiasa menasihati beliau dan Alhamdulillah Hamidah telah berjaya menjalankan tanggungjawab sebagai ibu, sebagai seorang isteri dan sebagai ketua persatuan ini dengan baik.

” Dugaan kami sekeluarga bukan baru, lama sebelum anak bongsu kami disahkan menghidap kanser, anak kelima kami disahkan menghidap penyakit di bahagian otak yang banyak menjejaskan kesihatannya namun kami semua redha dan pasrah dengan ketentuan Allah,” katanya sambil menitiskan airmata.

Sebelum beredar, Hamidah sempat berkongsi perasaannya mengenai hari-hari yang dilaluinya kepada penulis.

Menurut Hamidah, beliau sendiri bukanlah seorang yang ‘terlalu kuat’ namun semua itu beliau ‘sembunyikan’ kerana sedar beliau tidak boleh kelihatan lemah. Ini kerana ada pelbagai tanggungjawab yang perlu dipikulnya.

” Adakalanya Stadium Jalan Raja Muda yang terletak berhampiran wad kanak-kanak (pediatrik) HKL itu adalah tempat saya menangis bila ada sesuatu perkara menyedihkan terlintas di fikiran.

” Ibu bapa pesakit kanser di wad dah puas berendam air mata…saya sebagai ketua mereka sering menjadi bahu tempat mereka meluahkan apa yang terpendam…jadi mana mungkin saya menangis di depan mereka.

” Tetapi saya juga manusia biasa, semoga Allah terus memberi kekuatan kepada saya, kepada persatuan kami dan pada anak-anak yang menderita ini,” kata Hamidah dalam nada sayu.

Kepada mereka yang berhasrat untuk membantu Kumpulan Ibu Bapa Dan Sokongan Anak-Anak Kanser KK3 HKL – HKL Kids bolehlah menghulurkan sumbangan mereka di akaun Maybank 5640 9850 8578.