,

HIJJAS KASTURI, ARKITEK MELAYU TERHEBAT!

Tadi aku seperti biasa memandu membelah kotaraya, dari Kuala Lumpur ke Putrajaya rutinku setiap hari. Antara bangunan pencakar langit yang sering memukau mata sudah tentu seperti Menara Maybank (bentuk macam keris), bangunan Tabung Haji, Menara Telekom (bentuk macam rebung), pusat membeli-belah Lot 10, Stadium Shah Alam dan Pusat Konvensyen Putrajaya (PICC) yang berbentuk seperti pending atau kepala tali pinggang (buckle).

Tapi ramai generasi baru sekarang tak tahu yang SEMUA bangunan unik dan cantik yang aku sebut tadi (sekadar menyebut beberapa contoh), adalah direka oleh arkitek yang sama, arkitek tersohor Melayu yang bernama HIJJAS KASTURI. Seperti mana uniknya nama beliau, begitulah juga uniknya setiap bangunan yang beliau lakar, yang beliau cipta dan yang beliau ilhamkan!

Berasal dari keluarga Pahang, Hijjas lahir di Singapura sebelum melanjutkan pelajaran dalam bidang architecture di Universiti Melbourne, Australia. Beliau juga adalah pelopor yang menubuhkan Sekolah Senibina ITM pada tahun 1966. Untuk rekod, bapanya tukang buat rumah dan itu sebablah beliau memilih jurusan senibina sedangkan pada tahun 60-an dulu banyak pelajar Melayu yang pintar memilih jurusan undang-undang dan perubatan.

Disebabkan ‘jiwa Melayu’ yang kuat dalam diri beliau, beliau memilih pucuk rebung sebagai konsep dalam penghasilan bangunan Telekom Malaysia Berhad dan keris sebagai paksi untuk Menara Maybank manakala projek pusat konvensyen di Putrajaya pula menghalusi semangat pending perak, satu kelengkapan penting dalam tradisi berpakaian masyarakat Melayu.

Sesungguhnya seperti mana aku kagum dengan Datuk Ramly Mokni dalam dunia perniagaan, begitu jugalah aku kagum dengan Hijjas Kasturi dalam dunia senibina. Mereka bagi aku adalah contoh orang Melayu yang ‘luar biasa’ pencapaiannya – tetapi malangnya tak ramai di kalangan kita sedar ‘kewujudan’ anak bangsa seperti mereka. Entahlah di mana silapnya…