,

(VIDEO) INILAH PENIUP SEKSOFON SEBENAR LAGU JERITAN BATINKU…

P. Ramlee berlakon sebagai Kasim Selamat iaitu pemain saksofon di dalam filem Ibu Mertuaku.

Tetapi tahukah anda saksofon itu sebenarnya ditiup oleh Yusof B.

Ketika itu, Yusof B bersaing rapat dengan rakannya Osman Ahmad yang juga seorang komposer lagu untuk filem-filem Melayu dan lagu-lagu piring hitam.

Persaingan seumpama itu menyebabkan seseorang pendengar susah untuk membezakan alunan muzik antara kedua-dua mereka kerana ia seakan-akan sama.

Bagaimanapun, bagi mereka yang arif tentang muzik perbezaannya tetap ada jika berdasarkan kepada cara masing-masing membawakannya.

Yusof B adalah seorang jaguh.

Dia ialah penyusun lagu-lagu yang dinyanyikan oleh P. Ramlee, Jasni, Aziz Jaafar, Nona Asiah, Lena, S. Noh, Ismail Mu Kasim dan lain-lain lagi.

Dalam menggubah lagu filem, aspek yang sukar bagi Yusof B ialah menyusun dan mengarangnya. Jika lagu-lagu itu bagus, muziknya mesti turut bagus.

Lagu akan kurang mendapat sambutan jika susunan muziknya tidak menentu.

Bercerita mengenai latar belakang Yusof B, penggubah itu dilahirkan di Jawa Road, Singapura pada 1915. Dia merupakan lulusan darjah lima di Sekolah Melayu Geylang, Singapura.

Bapanya bernama Bugok berasal dari tanah Bugis yang terkenal sebagai seorang ahli perniagaan manakala ibunya pula anak jati kota Singapura.

Minat Yusof B kepada sekolah boleh dikatakan tidak ada langsung. Perasaannya lebih dibuai untuk menjadi pemain muzik.
Yusof boleh diibaratkan sebagai muzik, dan muzik adalah Yusof.

Dia mula bekerja dengan sebuah syarikat sebagai seorang penjilid buku dengan menerima gaji sebanyak $13 sebulan. Usianya masih muda ketika itu iaitu kira-kira 14 tahun.

Yusof B bekerja semasa usianya masih muda kerana ingin mengumpul wang untuk membeli sebuah mandolin kerana bapanya enggan membelinya.

Mungkin bapanya tidak bersetuju Yusof menjadi seorang pemuzik.

Hasil jimat cermat dan ketekunannya menyimpan wang, Yusof akhirnya berjaya membeli sebuah mandolin tidak lama selepas itu.

Selepas itu Yusof terus sahaja berhenti daripada syarikat tersebut. Tujuan asalnya bekerja di situ ialah kerana mahu mencari duit untuk membeli mandolin.

Tetapi Yusof B tetap memerlukan pekerjaan bagi menampung kehidupan seharian. Cuma dia inginkan pekerjaan yang membolehkannya memberi tumpuan yang agak banyak kepada bidang muzik.

Dia memilih untuk bekerja sebagai ahli bomba ketika berusia 19 tahun. Di samping bekerja, dia mendalami pelajaran muzik.

Kemahiran Yusof B dalam muzik semakin bertambah. Daripada mandolin, dia kini berpindah bermain saksofon dan biola pula.

Bersama dengan beberapa orang rakan seperjuangan, Yusof mengorak langkah menubuhkan sebuah pancaragam bernama Malay Teruna Orkestra yang dianggotai sepenuhnya oleh anak-anak Melayu Singapura.

Orkestra itu mula menampakkan populariti apabila menerima jemputan bermain di Street Cabaret.

Tugas Yusof B bermain muzik di kabaret itu memerlukan sepenuh masa sedangkan pada waktu itu, dia masih bekerja sebagai ahli bomba.

Dia tidak mungkin dapat bermain muzik dengan baik jika terus bekerja sebagai ahli bomba.

Oleh itu, Yusof pun meletakkan jawatan sebagai ahli bomba pada tahun 1939.

Semasa Perang Dunia Kedua, menurut Mohammad, Yusof masih berpeluang mengarang dan menggubah lagu-lagu mengikut gaya dan caranya sendiri.

Lagu-lagu itu dimainkan oleh Malay Teruna Orkestra. Lama kelamaan, kemampuan Yusof dengan lagu-lagu ciptaannya mula diketahui umum.

Dia menerima berbagai pujian di atas kebolehannya mengarang lagu.

Kebolehan tersebut telah memikat seorang penggubah lagu yang telah lama bergelumang dengan muzik bernama Osman Ahmad.

Osman menyatakan kekagumannya terhadap Yusof dan mempelawa Yusof bekerjasama dengannya mencipta beberapa buah lagu dalam rekod cap ayam.

Yusof menerima tawaran tersebut. Popularitinya berterusan sehingga lagu ciptaan Yusof dimuatkan dalam filem-filem Melayu. Malah, dia turut berjaya dipancing oleh syarikat filem MFP sebagai seorang pencipta lagu.

Selepas kejayaan rekod cap ayam tersebut, Yusof B terus berganding bahu dengan Osman Ahmad dalam beberapa filem lain seperti Nasib, Bakti, Takdir Ilahi dan Pembalasan.

Dia turut menyumbang lagu untuk filem-filem Juwita, Derita, Antara Senyum dan Tangis, Miskin, Lupa Daratan, Anjoran Nasib, Patah Hati, Iman, dan Kerana Kau.

Yusof juga pernah dikritik kerana lagu-lagu ciptaannya seakan-akan berbau Hindustan tetapi katanya ia dilakukan bukan sesuka hati.

Segala-galanya dibuat atas kemahuan pengarah filem yang kebanyakan terdiri daripada pengarah-pengarah berbangsa India. Jika Yusof B tidak mematuhi permintaan mereka, lagu-lagunya tidak akan dimasukkan ke dalam filem tersebut.

AL FATIHAH BUAT YUSOF B

SUMBER