,

JANGAN TINGGAL SOLAT – TAUKEH AL IKHSAN

Siapa yang tak pernah dengar kedai sukan aL-ikhsaN. Tapi tahukah anda pemiliknya, Ali Hassan Mohd Hassan sebenarnya memulakan perniagaannya dengan hanya bermodalkan RM50. Dia yang ketika itu menuntut di UTM Skudai memulakan perniagaan dengan menjual barangan sukan kepada kawan-kawan dan pensyarahnya.

Di atas kecemerlangannya dalam pelajaran, pemegang Diploma Kejuruteraan Mekanikal ini pernah ditawarkan menyambung pelajaran ke luar negara, namun Ali mengambil keputusan untuk terus menceburi bidang perniagaan sebaik saja tamat pengajian.

Masa di universiti, dia banyak buat kerja sampingan untuk menampung kehidupan kerana dia menyerahkan biasiswa yang diterimanya kepada kedua ibu bapanya yang susah.

Pada tahun 1993, Ali membuka sebuah kedai kecil di Holiday Plaza, JB dan sejak itu dia tidak lagi berpaling ke belakang. Sehingga kini,  aL-ikhsaN telah membuka 116 cawangan di seluruh Semenanjung Malaysia dan sedang merancang menembusi pasaran Sabah dan Sarawak dengan cadangan membuka enam cawangan di Kuching dan Kota Kinabalu menjelang 2018.

Pada masa sama, Ali sedang mengintai peluang untuk menembusi pasaran Indonesia dan Thailand dalam tempoh tiga hingga lima tahun akan datang!

Terbaru, syarikat pengurusan dana ekuiti persendirian berkaitan kerajaan, Ekuiti Nasional Bhd (Ekuinas) menyuntik RM68.6 juta bagi membolehkan mereka mendapat 35 peratus pegangan ekuiti dalam aL-ikhsaN. Ini sekaligus menjadikan perniagaan Ali semakin megah mendaki puncak kejayaan!

Menurut Ali, rahsia kejayaannya adalah bergantung penuh kepada tuntutan dalam agama Islam.

“Formula aL-ikhsaN dari dulu sehingga sekarang adalah jangan kita meninggalkan solat lima waktu, jaga ibu bapa kita sebaik mungkin, tunaikan zakat dan berikan sedekah dan bantu mereka yang susah,” ujarnya.

Beliau menyerah semuanya kepada kekuasaaan Allah dan mempercayai sekiranya melakukan sesuatu perkara kerana Allah semata-mata, kesannya amat berbeza.

“Dari sini keajaiban akan berlaku dengan izin Allah. Kita kena yakin dengan janji Allah, iaitu siapa yang ikut perintah-Nya… kemenangan dan kejayaan akan diberikan di dunia dan akhirat. Mula-mula nampak susah tetapi sekarang semua keajaiban itu menunjukkan hasil. Inilah isi kejayaan yang sebenar,” jelasnya dalam satu temubual tidak lama dulu.

Terbaik!!!