,

JATUH BANGUN MELAYU KE 7 TERKAYA DI M’SIA

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Air Asia X, Datuk Kamarudin Meranun telah dinobatkan orang ke-38 paling kaya di Malaysia, sekaligus menjadikannya orang Melayu ke tujuh terkaya di negara ini. Semua orang tahu, di sebalik kejayaan Tony Fernandes dan Air Asia, Kamarudin adalah individu penting yang banyak mencorakkan kejayaan syarikat penerbangan tambang murah negara itu.

Ini kerana Kamarudin adalah individu yang menguruskan hal ehwal kewangan, merancang dan pada masa yang sama bertanggungjawab memastikan ‘akaun’ dan keuntungan Air Asia terus berlipat ganda dari tahun ke tahun.

Sebagai salah seorang pengasas bersama Air Asia, difahamkan Kamarudin dan Tony sama-sama mengeluarkan modal permulaan dan pernah bergolok-bergadai sampai menjual rumah demi memastikan kejayaan Air Asia seperti yang kita lihat sekarang.

Satu perkara menarik bekas pelajar MRSM Kuantan ini, beliau cukup pintar dalam menjalankan perniagaan dan telah berjaya membawa balik keuntungan RM1 juta seawal umur 27 tahun!

Namun apa yang dinikmatinya ketika ini bukanlah datang bergolek, malah Kamarudin pernah melalui ujian yang sangat getir apabila perniagaan yang diusahakannya mengalami kerugian sewaktu krisis ekonomi melanda negara pada tahun 1998.

” Saya rugi RM250 juta ketika itu…kalau orang lain mungkin dah terjun tingkap namun ada satu perkara yang mengubah diri saya selepas itu,” kata Kamarudin.

Dengan tanpa berselindung, Kamarudin memberitahu, setelah mengalami kerugian yang cukup besar itu, isterinya mencadangkan agar beliau menunaikan ibadah umrah. Ternyata ia adalah cadangan yang cukup tepat pada masanya dan ‘kembara rohani’ itulah yang mencorak gaya dan pemikiran beliau sehingga sekarang.

” Ada seorang sheikh yang saya temui ketika menunaikan umrah di sana memberitahu, kita dalam hidup ini terlalu bergantung dan berharap pada manusia sedangkan kita hanya perlu berwuduk, menunaikan solat dan memohon kepada Allah, kenapa kita tidak melakukannya?

” Alhamdulillah, berkat ibadah umrah yang saya lakukan beserta doa saudara mara dan rakan taulan, saya kembali bangkit dan meneruskan perjuangan dalam bidang perniagaan serta berada di kedudukan yang anda lihat sekarang,” katanya yang pernah melibatkan diri dalam dunia hiburan dengan menubuhkan Roslan Aziz Production (RAP) bersama-sama bekas suami Shila Majid itu.

Laporan terbaru Forbes menyenaraikan Kamarudin sebagai individu ke 38 terkaya di negara ini dengan jumlah harta lebih RM1 billion, pertambahan puluhan juta ringgit dari tahun sebelumnya!

SALUTE!