, ,

ANAK PENANG KUASAI SISTEM IT BANK DUNIA

Goh Peng Ooi merupakan seorang anak penjual daging dari Kampung Kastam, Pulau Pinang. Ketika masuk ke sekolah biasa, beliau terpaksa beli kamus murah kerana tidak tahu Bahasa Inggeris. Ini kerana beliau sebelum itu bersekolah di sekolah kebangsaan Cina. Namun begitu Peng Ooi dianggap ‘genius’ kerana mahir dalam matapelajaran Matematik. Kepintarannya membuatkan beliau mendapat biasiswa untuk melanjutkan pelajaran di Universiti Tokyo dalam bidang kejuruteraan.

Disebabkan kecemerlangannya, beliau dapat menghabiskan pengajiannya dalam tempoh setahun dan selebihnya – ke disko!

Bila pulang ke tanah air pada tahun 1981, Peng Ooi bekerja dengan firma IT terkenal dunia, IBM. Dalam tempoh singkat, beliau yang ketika itu ditugaskan untuk membantu menyelesaikan masalah komputer di bank-bank, telah diangkat mengetuai firma itu di sini. Disebabkan bosan dengan kerja rutinnya, beliau berhenti dari IBM dan menubuhkan sebuah syarikat ITnya sendiri, Silverlake Axis pada tahun 1989. Tindakan itu tepat pada masanya kerana ketika itu, bank-bank di negara ini mula menaiktaraf sistem pengkomputeran dan pengalamannya bersama IBM telah memberi kelebihan kepada beliau.

Kejayaan terbesarnya bermula apabila pada tahun 1994 apabila Bank UOB mengambil keputusan untuk melantik syarikatnya menjalankan ‘total revamp’ bagi sistem IT bank tersebut. Puas hati dengan kerja-kerja yang dibuat, UOB kemudiannya melantik syarikat Peng Ooi untuk meneruskan kerjanya di semua cawangan bank tersebut di seluruh dunia!

Sejak pada itu, Peng Ooi dan syarikatnya Silverlake Axis tidak memandang ke belakang lagi. Peng Ooi dan para juruteranya kemudiannya mencipta sistem software mereka sendiri hingga perniagaannya terus berkembang di 20 buah negara di Asia, Timur Tengah dan Afrika. Di Asia Tenggara saja, daripada 10 kumpulan perbankan utama, 40 peratus daripadanya merupakan pelanggan Peng Ooi!

Pada tahun 2015, harta beliau dikatakan mencecah RM5 billion hingga diiktiraf sebagai antara 10 jutawan Malaysia. Walaupun Peng Ooi mengalami dugaan yang hebat apabila saham syarikatnya merudum tahun ini, namun dengan ‘kepintarannya’ dalam mengendalikan perniagaan dijangka menyaksikan beliau akan ‘kembali’ untuk terus kekal antara lelaki terkaya Malaysia ketika ini.

Dalam satu temubual dengan The Star tak lama dulu, Peng Ooi pernah ditanya mengapa beliau meminati Matematik dan juga memilih golf sebagai sukan kegemarannya.

” Matematik adalah permainan, begitu juga golf. Golf lebih ibarat ke arah permainan berfikir…macam ekonomi juga. Kita ingat bola itu pergi kanan, sekali bola itu pergi ke kiri. Dalam golf, ia sering mengajar saya yang saya tidak selalunya betul, banyak keadaan di mana saya salah buat pertimbangan. Ia mengajar saya mengenal diri,” kata Peng Ooi

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *