, ,

KISAH PENGASAS ZAWARA, ARIANI DAN FAREEDA

ZAWARA

DILLA Abd Karim tidak pernah mahu mencuba kerjaya lain selain berniaga. Walaupun memiliki Ijazah Kewangan dan Perakaunan daripada Universty of South Australia, dan dia mampu memegang jawatan yang tinggi dengan gaji lumayan, itu tidak cukup menarik bagi dirinya.

Jiwa Dilla tetap kepada berniaga. Oleh itu, sekembalinya dari luar negara, dia terus memulakan perniagaan produk elektronik secara kecil-kecilan.

Dari situ, dia mengumpul modal dan pengalaman dan belajar bagaimana hendak memulakan sebuah perniagaan yang lebih besar.

Nama Zawara dipilih untuk perniagaannya kerana berasal dari perkataan Arab, iaitu Zuwar yang bermaksud tetamu.

Zuwar diubah menjadi Zawara sesuai dengan konsepnya yang sentiasa menganggap pelanggan sebagai tetamu yang dihormati dan perlu diraikan.

Berkonsepkan fesyen Muslimah kontemporari yang sopan dan anggun, Zawara bermula sebagai perniagaan di atas talian pada Jun 2012.

Tujuh bulan kemudian, membuka butik pertamanya di Busana @ Menara Mara, Kuala Lumpur.

Beliau cukup berbangga kerana usahanya yang tidak mengenal erti penat telah melahirkan berbelas buah butik di seluruh negara.

“Butik-butik ini dibuka melalui sistem francais. Sejak bulan Januari 2014, pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) telah memberi lesen francais, sementara pihak Perbadanan Nasional Berhad (PNS) telah membantu francaisi bumiputera yang layak mendapat pinjaman bagi membuka butik,” kata Dilla yang berkongsi perniagaan tersebut bersama abangnya, Kamarul Ariff Abd Karim.

Ditanya mengenai resipi kejayaannya, dia mempunyai beberapa orang termasuk dirinya dalam kumpulan perkembangan dan kajian, yang akan mencari idea-idea terbaharu dalam rekaan fesyen dan tudung.

Jelasnya, rekaan fesyen yang dihasilkan tidak sama dengan yang terdapat di pasaran.

“Kami banyak membuat kajian mengenai fesyen Barat tetapi disesuaikan dengan kehendak pelanggan di Malaysia.

“Setiap bulan pula kami akan mengkaji warna-warna popular dunia dan mengaplikasikannya pada rekaan kami. Terdapat dua jenis warna yang disukai oleh pelanggan, iaitu warna gelap dan warna lembut. Rekaan dan warna pakaian kami sesuai untuk semua acara seperti ke pejabat dan sebagainya.

“Kami sentiasa menyediakan pelbagai koleksi fesyen yang sopan dan sesuai dengan budaya wanita Timur tanpa perlu berkompromi dengan gaya dan trend terkini. Kami turut mengeluarkan koleksi pakaian santai, pejabat serta ke majlis rasmi pada harga yang amat berpatutan.

“Dalam memenuhi aspirasi rekaan, banyak aspek harus diambil kira seperti fabrik bersesuaian dengan cuaca tempatan, selain kualiti menjadi keutamaan.

“Zawara kini baru memperkenalkan kategori produk baharu, iaitu kasut wanita yang amat selesa. Melalui rekaan kontemporari yang menawan serta harga yang berpatutan bermula daripada RM49, kami mengunjurkan jualan kasut menyumbang 50 peratus daripada pendapatan keseluruhan syarikat sebelum hujung tahun ini,” kata Dilla.

Tambahnya, dengan wujudnya butik-butik Zawara di semua negeri di Malaysia pada tahun ini, diharapkan menjadi bukan sekadar pusat fesyen, malah bakal menjadi pusat gaya hidup Muslimah dengan menjual pelbagai keperluan wanita Islam masa kini.

Sementara itu, jelasnya lagi, beliau mengembangkan perniagaannya dengan pembukaan unit F&B yang pertamanya di Bukit Jelutong diikuti pelancaran francais Specialty Coffee Cafe yang diberi nama Zawara Coffee.

“Kafe kopi ini bertemakan ‘perdagangan kopi’ dan bakal menjadi satu fenomena dengan kelainan rekaan dalaman serta penggunaan teknologi yang belum pernah digunakan di negara ini,” katanya.

.
ARIANI

Sedar tidak sedar, sudah hampir sembilan tahun usia Ariani sejak ditubuhkan pada tahun 2008. Ariani memulakan perniagaan tudung dengan membuka cawangan Galeri Ariani pertama di Jalan Masjid India, Kuala Lumpur.

Galeri Ariani dimiliki oleh Ariani Textiles & Manufacturing (M) Sdn. Bhd. dan bernaung di bawah syarikat pelopor industri fabrik utama Malaysia, Jakel.

Pada awal penubuhannya, ramai pihak datang kepada suami saya, Dato’ Faroz dan adik beradiknya yang lain, bertanya, bagaimana kami mempunyai idea untuk meluaskan perniagaan dalam industri hijab?

” Sebenarnya, apabila Jakel membuka cawangan di Kuala Lumpur, kami melihat ramai wanita yang datang membeli-belah fabrik yang berkualiti dengan harga ribuan ringgit tetapi malangnya padanan tudung yang mereka gayakan tidak sesuai.

” Kami hairan… fabrik yang mereka pilih daripada harga yang mahal tetapi dipadankan dengan pilihan tudung yang biasa dan kelihatan tidak mengikut trend semasa.

” Mungkin kekurangan sumber pengeluaran tudung pada ketika itu menyebabkan sebilangan wanita mempunyai pilihan yang terhad,”.

Daripada situlah, Jakel mengambil peluang ini untuk membuka satu jenama hijab premium yang mampu menyediakan pilihan tudung yang pelbagai untuk semua wanita di Malaysia.

Tudung Awning atau lebih popular dengan panggilan “Tudung Ekin” (kerana menampilkan Ekin sebagai duta pertama Ariani) adalah eksperimen pertama kami dalam penghasilan tudung sarung pertama di Malaysia untuk penggemar hijab.

Diperbuat daripada material Thai silk awning, koleksi ini telah mencipta satu fenomena luar biasa dan mendapat permintaan tinggi dari pelanggan kami.

Formulasi tudung sarung untuk gaya wanita pada waktu itu ternyata berhasil kerana rekaan tudung awning menepati cita rasa wanita Malaysia yang mahukan tudung yang mudah dipakai dengan kombinasi warna yang pelbagai dan jalinan fabrik yang cukup selesa.

” Sambutan yang luar biasa ini telah mendorong kami menambah lima lagi cawangan Galeri Ariani pada tahun 2009. Pada tahun 2010, Ariani meluaskan empayar perniagaannya dengan membuka 14 cawangan di seluruh Malaysia, menjadikan Ariani mempunyai lebih 400 000 pelanggan berdaftar. Malah, Ariani turut meraih pelbagai anugerah di peringkat nasional sehingga global. Antaranya pada 2014, Recognizing Brand Excellence Globally, Global Best Brands Textiles SME Category, ”

Ariani antara jenama hijab terawal di negara kita. Sekarang sudah banyak persaingan, lalu bagaimana Ariani bergerak menongkah persaingan ini?

” Kami memandang positif perkembangan industri hijab ini. Persaingan dari pelbagai jenama tudung, menjadikan kami lebih peka terhadap permintaan pelanggan. Para pereka bersama unit R&D kami sentiasa melakukan penyelidikan dalam menghasilkan rekaan yang sentiasa kedepan dan memenuhi kehendak pelanggan. Malah yang paling utama, adalah mengekalkan pemilihan fabrik terbaik untuk setiap helaian tudung yang dikeluarkan, ”

Semua rekaan tudung Ariani telah dipaten dan didaftarkan sebagai hak cipta Ariani.

Dan Ariani tidak pernah mengambil tindakan undang-undang kepada usahawan luar yang mengambil rekaan tudung kami kerana kami percaya rezeki itu adalah milik semua.

Melainkan ada segelintir pihak yang cuba menjual tudung dengan sengaja meletakkan label Ariani tiruan untuk mengelirukan pelanggan kami dan perkara sebegini telah mendorong kami untuk mengambil tindakan undang-undang.

.
FAREEDA

JENAMA tudung Fareeda sememangnya menjadi pilihan kaum Hawa di negara ini. Hasil tangan dan rekaan Pengasas Fareeda, Faridah Zakaria menjadi buruan penggemar fesyen tudung yang mahu kelihatan anggun, eksklusif, berkeyakinan dan berkarisma.

Beratur panjang sebelum butik memulakan operasi dan ada yang sanggup bermalam di depan butik semata- mata untuk mendapatkan nombor giliran dan rekaan yang diinginkan, merupakan senario yang sinonim dengan Fareeda setiap kali mengadakan promosi dan jualan rekaan baharu.

Bagi Pengarah Fareeda Global Resources Sdn Bhd, Mawar Abdul Karim, fenomena tersebut di luar jangkaan mereka sekeluarga dan mengakui bukan mudah untuk ibunya berjaya kerana pelbagai cabaran terpaksa dihadapi.

“Saya melihat sendiri jatuh bangun ibu sebelum berada pada tahap sekarang. Alhamdulillah, hasil kecekalan ibu hampir 10 tahun, ibu berjaya memajukan perniagaan tudung,” katanya.

Bermula dua mesin jahit

Mawar berkata, beliau tidak menyangka, hanya bermula dengan dua mesin jahit terpakai yang dibeli oleh bapa digunakan untuk menjahit tudung dengan niat memenuhi minat mendalam dalam perniagaan dan menghasilkan rekaan yang cantik, unik dan eksklusif, ibunya kini menjadi usahawan yang berjaya.

“Saya masih ingat, pada pertengahan tahun 2006 ibu mula berjinak-jinak menjahit tudung di rumah kami yang terletak di Permatang Pauh, Pulau Pinang setelah berbincang dan mendapat galakan daripada suami untuk menceburi bidang perniagaan penghasilan tudung.

“Pada mulanya ibu memulakan perniagaan menjahit tudung yang ditempah kawan-kawan dan saudara mara. Tudung tersebut menggunakan jenama Maisara yang mempunyai ‘awning’ sahaja, dijual dengan harga agak rendah walaupun menggunakan kain chiffon berkualiti dan margin keuntungan sangat kecil sebagai percubaan memperkenalkannya di pasaran,” katanya.

Segalanya berubah apabila bapanya berpindah ke Bangi, Selangor kerana bertugas di ibu pejabat Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) pada awal 2007.

“Kami menyewa rumah di Bangi dan ibu mahu meneruskan perniagaannya. Walaupun ibu tidak biasa dengan keadaan seperti mencari benang dan kain di Bangi, beliau usahakan cari material diperlukan, sekitar Lembah Klang,” katanya.

Mawar berkata, melihatkan sambutan sangat baik, maka perluasan pemasaran perlu dilakukan lalu mereka mencari pembantu dengan mengiklankannya di akhbar Sinar Harian dengan bayaran RM500 untuk iklan tidak berwarna.

“Pada waktu itu, RM500 terlalu tinggi dirasakan oleh kami memandangkan pengiklanan di dalam surat khabar merupakan sesuatu yang baru buat kami di mana kesannya belum dapat diketahui lagi. Saya ambil gambar sendiri dan menjadikan kawan baik saya sebagai model untuk jimat kos.

“Alhamdulillah dengan bermodalkan kurang RM3,000 perniagaan ibu semakin maju di Bangi,” katanya.

Tambahnya, peluang diberikan sebuah akhbar arus perdana yang menyiarkan artikel mengenai kegigihan ibunya menjahit tudung dengan rekaan idea unik dan pada ketika itu masih baru di negara ini melonjakkan perniagaan Fareeda.

“Pada ketika itu, kami menerima banyak tempahan tudung dan ibu mula menghasilkan keluaran tudung secara pukal atau ‘ready-made’. Saya masih ingat, saya jadi model tudung ibu sendiri kerana kawan saya dari Pulau Pinang tidak dapat datang sesi fotografi.

“Saya terpaksa jadi model dan Alhamdulillah, pengalaman belajar mengenai fotografi menyebabkan saya tidak bermasalah untuk bergaya hadapan kamera,” katanya.

Mawar berkata, selepas muncul di akhbar arus perdana, Fareeda diberikan peluang di media elektronik.

“Alhamdulillah, penglibatan tanpa dirancang antara Fareeda bersama media ternyata memberikan impak besar kepada perniagaan kami. Kami mendapat permintaan luar biasa walaupun rekaan tudung kami menggunakan kain chiffon yang pada masa itu adalah sesuatu yang baru kerana kain chiffon banyak digunakan untuk busana pengantin.

“Butik pertama kami adalah di Seksyen 8, Bandar Baru Bangi yang dibuka pada bulan puasa tahun 2009,” katanya.

Mawar berkata, sebelum ini, Fareeda diberikan peluang bekerjasama dengan sebuah syarikat tetapi tidak dibenarkan menggunakan jenama sendiri. Oleh itu Fareeda menghentikan kerjasama tersebut kerana didapati pada jangka masa panjang tidak membantu kemajuan jenama Fareeda.

Maka Fareeda berusaha meningkatkan penjualan tudungnya sendiri dengan menggunakan pelbagai kaedah.

“Bukan senang berada di tahap ini, pelbagai rintangan terpaksa dihadapi. Walaupun mempunyai butik sendiri, saya turun padang jual sendiri tudung Fareeda di Kompleks PKNS Shah Alam.

“Saya sendiri bawa barang dan stok tudung kerana pekerja tidak cukup. Saya pernah jual tudung di pasar raya Giant Seksyen 13, Shah Alam,” katanya.

Tambahnya, pada 2009 dan 2010, ramai pelanggan sukar membeli tudung Fareeda terutama koleksi ‘hot’ iaitu Sabreena dan Suraiya yang dijual dengan harga lingkungan RM100 kerana faktor lokasi.

“Pada waktu itu tudung menggunakan kain lycra dan bawal masih menguasai pasaran. Alhamdulillah penerimaan terhadap material chiffon semakin meningkat apabila ramai pelanggan mula mengetahui kain chiffon sesuai dibuat tudung, selain materialnya ‘sejuk’ dan selesa.

Waktu itu Fareeda menggunakan rekaan berkonsepkan tiga lapisan dan padanan berwarna atas idea ibu.

“Kami pernah dapat cemuhan dan sindiran orang ramai kerana kelainan rekaan tudung Fareeda seperti konsep tiga lapisan dan padanan warna tetapi terbukti Fareeda berjaya.Rekaan tersebut dan padanan warna menyebabkan ribuan pelanggan sanggup beratur di Butik Fareeda demi mendapatkan tudung Fareeda,” katanya.

“Kesilapan ibu ketika menjahit tudung memberikan ilham kepadanya untuk buat rekaan baharu. Setakat ini, Fareeda mempunyai lebih daripada 20 rekaan. Ada sesetengah rekaan Fareeda belum dikeluarkan di pasaran.

“Rekaan-rekaan Fareeda ini didaftarkan di Perbadanan Harta Intelek Malaysia bagi melindungi hak reka cipta dan intelek Fareeda,” kata Mawar.

Menariknya, Fareeda tidak menggunakan artis sebagai duta dan model jenamanya, tetapi menggunakan orang biasa sebagai model melalui program Pencarian Model Fareeda yang diadakan hampir setiap tahun.

Tambah Mawar, Fareeda mahu wanita memakai setiap rekaan tudungnya kelihatan cantik, berkarisma, berkerjaya dan berkeyakinan.

“Saya sendiri jadi duta Fareeda. Kadang-kadang Fareeda menaja tudung pembaca berita dan pelakon. Kami juga adakan Pertandingan Mencari Model Fareeda dan mempromosikannya di Facebook,” katanya.

Fenomena pelanggan beratur dan bermalam sebelum promosi diadakan perkara biasa berlaku di butik Fareeda. Ia akan meniti di bibir penggemar tudung Fareeda sebelum hari jualan.

“Fenomena ini bermula pada hujung 2010. Pada peringkat permulaan, kita menjahit tudung dan terus jual, menggunakan sistem bernombor dan tidak menetapkan jumlah dihadkan bagi setiap pelanggan.

“Segelintir pelanggan beli banyak tudung untuk menjualnya semula. Ia menyebabkan ada pelanggan tidak boleh masuk beli tudung kerana habis stok,” katanya.

Menurutnya, akibat pelanggan terlalu ramai menunggu giliran masuk ke dalam butik Fareeda, maka 20 minit sahaja terpaksa diberikan untuk setiap kumpulan yang terdiri daripada 20 orang dan had seorang sehelai tudung sahaja.

“Pelbagai insiden berlaku antaranya pelanggan tidak beratur terus terjah masuk, bergaduh dan keadaan tidak terkawal. Kebiasaannya, pelanggan terlalu ramai pada musim perayaan,” katanya.

Mawar berkata, ada rekaan tudung Fareeda digelar tudung ‘air mata’ iaitu tudung Aisya bercorak harimau kumbang kerana ia terhad 100 helai, tetapi ramai yang mahu mendapatkannya.

“Mereka beratur dua hari sebelum jualan dan berlaku salah faham dengan pelanggan yang ‘walk in’. Tudung ‘air mata’ tersebut tidak jadi dipamerkan untuk dijual kerana ada pelanggan bergaduh. Kejadian itu menyebabkan ramai pelanggan yang beratur awal menangis kerana gagal memiliki tudung tersebut pada waktu giliran mereka.

“Dan pihak Fareeda keluarkan juga kerana menyayangi pelanggannya,” cerita Mawar secara jelas.

Tambahnya, kebanyakan 500 pelanggan Fareeda terawal menggunakan sistem nombor yang dibuka hingga nombor 1,000 adalah penjual tudung secara ‘online’ manakala selebihnya untuk pakai sendiri.

“Ada juga pelanggan yang beratur akan menjual semula tudung dengan memperoleh pendapatan sehingga lima angka sebulan. Secara tidak langsung Fareeda membuka peluang pendapatan tinggi kepada wanita terutamanya suri rumah,” katanya.

Mawar berkata, kini Fareeda mempunyai lebih 100 penjual yang kebanyakannya menjual secara online.

“Jualan online oleh para penjual ini menyumbang kepada 40 peratus pendapatan Fareeda dan selebihnya adalah pelanggan biasa yang ingin memakai sendiri dan ‘walk-in’ ke butik Fareeda. Sebanyak 50 peratus pelanggan kami adalah dari pantai timur,” katanya.

Tambahnya, setiap rekaan Fareeda boleh bertahan popularitinya selama enam bulan hingga setahun.

Fareeda sentiasa keluarkan rekaan terbaharu setiap beberapa bulan bagi memberikan pilihan dan suntikan cita rasa baharu kepada peminat Fareeda.

Mawar mengakui, walaupun bermodalkan hanya RM1,000 ketika memulakan perniagaan di Pulau Pinang, Fareeda tidak melakukan pinjaman kewangan daripada institusi kewangan.

“Setiap pembukaan butik, kami guna sumber kewangan sendiri,” katanya.

Mawar berkata, tanpa bantuan kewangan bukan alasan untuk tidak berniaga kerana setiap usahawan perlu mempunyai idea sendiri, bersaing secara sihat, jangan hasad dengki dan fokus.

“Saya sentiasa kerja keras menguruskan perniagaan kami. Sekarang Fareeda mempunyai lebih 400 kakitangan.

“Premis perniagaan kami di Bandar Baru Bangi, Kubang Kerian Kelantan dan Pulau Pinang, mempunyai dua tingkat yang mana tingkat atas dijadikan pusat pengeluaran, pusat edaran dan tingkat bawah dijadikan butik. Manakala cawangan lain seperti Alamanda, Subang

Skypark dan Shah Alam merupakan butik sahaja,” kata isteri pelakon, Fizo Omar ini.

(sumber Sinar Harian, Utusan Malaysia dan InTrend)