, ,

TAN SRI VINCENT TAN …KISAH JATUH BANGUN SEORANG JUTAWAN!

NAMA jutawan terkenal Tan Sri Vincent Tan tak perlu diperkenalkan lagi. Generasi dulu mengetahuinya sebagai taukeh judi terkenal Sports Toto manakala generasi sekarang lebih mengenalinya sebagai anak Malaysia yang mencipta sejarah memiliki kelab bola sepak Cardiff City.

Namun tahukah anda, anak jati Batu Pahat, Johor yang berusia 65 tahun itu bukanlah berasal dari keluarga yang senang sebenarnya. Bapanya hanya pemandu lori dan Vincent sendiri hanya bersekolah sehingga Tingkatan 5 di Sekolah Tinggi Batu Pahat.

Selepas tamat persekolahan, Vincent bekerja sebagai kerani bank dan pada masa yang sama menjadi ejen insurans AIA. Di sinilah ‘bintangnya’ mula bersinar apabila dinaikkan pangkat sebagai Pengurus Jualan Kanan dalam tempoh empat tahun saja. Ketika usianya baru 23 tahun.

Semasa bekerja dalam bidang insurans, pada suatu hari Vincent terbaca sebuah artikel dalam majalah Times bertajuk ” Burger Yang Menguasai Dunia ” ketika sedang mengiringi salah seorang pelanggannya ke klinik. Kebetulan majalah itu terletak di ruang menunggu klinik berkenaan.

Sejak pada itu hampir setiap minggu beliau menulis surat ke ibu pejabat McDonalds mengenai impiannya untuk menjadi pengedar makanan itu di Malaysia. Malah disebabkan terlalu kerap menulis ke syarikat tersebut, ibu pejabat McDonalds pernah menasihatkan Vincent untuk berhenti saja menulis kepada mereka kerana jumlah surat yang mereka terima daripadanya sudah terlalu banyak!

Betul, Vincent pun berhenti berbuat demikian, tetapi bukan berhenti terus. Kalau dulu dia menghantar surat setiap minggu, kali ini beliau ‘jarakkan’ kepada sebulan sekali, namun hantar tetap hantar!

Ternyata gelagat Vincent memeningkan kepala mereka.

Namun pada suatu hari, McDonalds menjemput Vincent untuk menghadiri pembukaan restoran McDonalds pertama di Singapura.

Beliau pada mulanya ingat harapannya untuk membida franchais McDonalds pasti gagal kerana ketika restoran itu membuka tawaran kepada mereka yang berminat untuk mengusahakan perniagaan tersebut di Malaysia, yang datang semuanya ahli perniagaan yang kaya raya.

Tetapi disebabkan melihat pada kesungguhan beliau, McDonalds akhirnya melantik Vincent berbanding ahli perniagaan lain yang turut sama membuat bidaan.

Vincent yang ketika itu baru berumur 28 tahun kemudian melabur lebih RM250,000 manakala sebahagian lagi modal datang daripada pihak McDonalds sendiri. Beliau menguasai 51 peratus pegangan dalam perkongsian itu.

Sejak berjaya membuka restoran McDonalds pertama di Kuala Lumpur, beliau tidak lagi menoleh ke belakang.

Kejayaan kedua terbesar datang dalam dirinya adalah apabila beliau membeli syarikat perjudian Sports Toto dan memperoleh lesen daripada kerajaan untuk menjalankan perniagaan perjudian tersebut pada tahun 1985.

Dua kejayaan besar itu telah membuatkan Vincent terus ‘mengganas’ dalam dunia perniagaan. Antaranya memiliki francais 7-Eleven dan Starbucks serta menjadi pengedar kereta Mazda di Malaysia. Selepas krisis ekonomi pada tahun 1998, Vincent membeli syarikat Friendster yang terkenal itu sebelum menjualnya kembali ke Facebook. Hasil daripada penjualan ini saja, beliau memperoleh keuntungan beratus juta ringgit.

Namun Vincent juga pernah mengalami episod ‘ngeri’ dan sejarah hitam dalam perniagaannya.

Antaranya apabila beliau terpaksa menjual syarikat telekomunikasi yang dimilikinya iaitu DiGI dan syarikat insurans Prudential.

” Saya terpaksa menjual dua buah syarikat besar milik saya itu kerana hendak menyiapkan bangunan Berjaya Times Square di Jalan Imbi, Kuala Lumpur. Saya tak mahu bila orang memandu di sekitar Bukit Bintang, mereka akan kata Vincent Tan dah gagal dalam perniagaan kerana tak mampu menyiapkan menyiapkan bangunan berkenaan. “

Antara perkara menarik mengenai Vincent adalah, beliau mengakui yang beliau ‘tidak pernah cintakan’ setiap perniagaan yang diusahakannya. Ujar Vincent, setiap kali ada tawaran untuk membeli mana-mana syarikat miliknya, beliau akan jual dengan syarat ia memberi keuntungan kepada beliau.

” Saya pernah melabur RM11 juta untuk syarikat Berjaya Auto milik saya. Syarikat tersebut berkembang dengan baik hingga nilai syarikat itu menjadi  RM2 bilion. Tunggu apa lagi, saya jual terus, ” katanya.

Mengenai perniagaan loteri yang menjadi ‘tunjang’ kejayaan beliau, Vincent berkata, beliau akan melangkah setapak lagi dalam industri perjudian yang diceburinya apabila diberi hak eksklusif selama 18 tahun untuk menjalankan perniagaan loteri berkomputer di Vietnam.

Katanya, kerajaan Vietnam mengalami kerugian yang besar kerana kegiatan perjudian haram berleluasa di negara berkenaan. Untuk itu mereka memilih beliau untuk menggunakan ‘apa saja cara yang boleh’ bagi memulihkan keadaan tersebut.

” Saya seperti dapat  ‘sebuah lombong emas’ bila diberi peluang berkenaan…lombong dah ada depan mata- saya hanya perlu ‘gali’ saja. Ia lebih menguntungkan dari Sports Toto tetapi ramai yang tak faham mengenainya, saya rileks saja, ” katanya.

Sementara itu dalam sebuah majlis yang berlangsung tak lama dulu, Vincent menasihati golongan peniaga supaya menguasai bahasa Inggeris kalau mahu terus berkembang dalam urusan perniagaan mereka.

” Saya berjaya kerana dibantu penguasaan saya dalam bahasa Inggeris. Namun pada masa yang sama jangan lupakan Bahasa Malaysia, itu tanda kita cintakan negara,” tegas Vincent.

Mengenai idolanya, Vincent berkata, beliau mengagumi mendiang Nelson Mandela, Lee Kuan Yew, Warren Buffet and Tun Dr Mahathir Mohamad. Mereka semua ‘role model’ beliau.

“ Dr. Mahathir sama umur dengan mendiang bapa saya. Mereka lahir dalam tahun kerbau – mereka degil, ” kata Vincent.

Sementara itu pada sambutan Hari Pengasas Berjaya tak lama dulu, hartawan itu mengikrarkan untuk menderma separuh kekayaannya untuk kebajikan sepanjang hayatnya.

Vincent juga mengumumkan beliau melepaskan jawatan sebagai pengerusi kumpulan itu dan melepaskan jawatan CEO kepada anak sulungnya, Datuk Robin Tan.

 “Ia bukannya mudah untuk mengambil keputusan ini kerana Berjaya telah menjadi sebahagian hidup saya. Apabila saya mencecah umur 60 tahun, saya perlu kurangkan keutamaan saya untuk mendapatkan ganjaran lain daripada kewangan supaya saya boleh luangkan lebih banyak masa untuk kerja kebajikan,” katanya.

Better Malaysia Foundation, sebelum ini dikenali sebagai VTCY Foundation, menjalankan aktiviti dalam pelbagai bidang untuk menjadikan Malaysia sebuah tempat yang lebih baik untuk hidup.

VTCY merujuk kepada nama penuh Tan iaitu Vincent Tan Chee Yioun.

TAMAT