,

KISAH TIGA JURUTERBANG JET PEJUANG, KOMERSIL WANITA NEGARA

EMILIA KAMARUDDIN

Sebenarnya kerjaya juruterbang pejuang tidak pernah terlintas di dalam kamus cita-citanya hatta semasa belajar Kolej Teknologi Llandrillo, North Wales, United Kingdom peringkat A Levels sebelum menyambung peringkat ijazah di Universiti Loughborough, England, United Kingdom.

“Malangnya sekembali ke tanah air, saya tidak berpeluang bekerja sebagai jurutera sebab tidak ada kekosongan jawatan walaupun puas memohon, bosan menjadi penganggur, Emilia tertarik dengan tawaran iklan yang menawarkan kerjaya dalam TUDM dan terus mencuba nasib’’ katanya.

Emilia bersama dengan dua orang calon juruterbang wanita lain iaitu Fadzillah Abdullah dan Zainab Sharil telah dipilih untuk menjalani latihan ketenteraan di TUDM Kinrara dan ditauliah kan sebagai pegawai TUDM berpangkat Leftenan pada 3 November 1986.

Emilia kemudiannya mengikuti kursus latihan penerbangan asas di Pusat Latihan Penerbangan Satu di TUDM Alor Setar iaitu melalui fasa kajian bawah dan fasa penerbangan dan setelah lulus menerima sayap penerbangan.

“Pertama kali menjalani latihan di dalam kokpit, saya sedar besar tanggungjawab yang dipikul nanti tetapi saya tabahkan hati dan bersyukur, segala-galanya berlalu dengan baik,’’ kata Emilia nya.

Setelah upacara penganugerahan sayap penerbangan pada April 1988 selepas melakukan penerbangan sebanyak 170 jam, bermulalah episod kerjaya Emilia sebagai juruterbang wanita pertama di TUDM dan beliau meneruskan penerbangan lanjutan untuk menerbangkan pesawat pejuang.

Pengalaman menerbangkan pelbagai jenis pesawat termasuk Pilatus PC-7, Aermacchi MB339, Skyhawk, Hawk dan Aerotiga MD3, mematangkan Emilia dalam menjalani kehidupan dunia penerbangan ketenteraan.

Ada peristiwa semasa mengendalikan pesawat yang tidak akan dilupakan iaitu semasa mengadakan pertunjukan lintas lalu empat pesawat sempena Hari Kemerdekaan negara, pesawat yang dibawanya mengalami masalah teknikal dan menjunam namun beliau sempat mengendalinya dan naik semula.

Skuadron jet pejuang yang menjadi lokasi pertama Emilia bertugas ialah TUDM Kuantan iaitu menerbangkan pesawat Skyhawk iaitu daripada 1989-1992 dan sebagai juruterbang pejuang wanita yang pertama setiap gerak gerinya menjadi keprihatinan semua pihak kerana Emilia adalah wanita yang pertama membuat kerja yang selalunya dilakukan oleh orang lelaki.

Emilia juga merupakan Jurulatih Penerbangan Wanita yang pertama apabila dipilih untuk menjadi guru melatih pelatih juruterbang yang hampir seratus peratus adalah lelaki kerana TUDM tidak mengambil ramai juruterbang wanita maka anak didik Emilia kebanyakannya adalah lelaki daripada 1992-1995.

Emilia kemudiannya menjadi Ketua Operasi Pusat Simulator Pesawat Pejuang di TUDM Butterworth daripada 1995-1997 dan seterusnya menjadi Pegawai Memerintah Pusat Simulator Pesawat Pejuang daripada 1999-2001.

Muali 2007 sehingga persaraannya pada 2011 Emilia telah ditugaskan sebagai juruarah (Directing Staff) di Maktab Turus Angkatan Tentera Haigate Kuala Lumpur untuk mengendalikan modul Tentera Udara bagi pegawai TUDM dan pegawai tentera udara asing yang berkurusus di maktab tersebut.

Emilia telah mencipta sejarah untuk negara dan dirinya dan kejayaannya dikongsi oleh suaminya Abdul Aziz Ali yang pernah bersama TUDM dan anak-anaknya Afiq Farhan, Amar Fikri, Nur Ain Shahirah, Nur Zihan Shuhada, Muhamad Harith Fahmi dan Siti Aisyah Saffiyah.

Walaupun Emilia kini tidak lagi di dalam TUDM namanya akan tetap segar terutama oleh rakan-rakan seperjuangannya yang telah sama meredah awan demi awan dan terlibat dalam pelbagai misi latihan perang di udara.

PATRICIA YAPP SYAU YIN

Beliau merupakan juruterbang pesawat pejuang MiG-29N yang pertama dan wanita Malaysia pertama yang lulus dengan kepujian dari Kolej Tentera Udara Diraja Malaysia di Alor Star pada tahun 1997.

Dia adalah seorang juruterbang yang membawa operasi dan taktikal dengan Skuadron No 17/19 “Penyamun Smokey” di Pangkalan Tentera Udara Kuantan .

Yapp berkahwin dengan rakan tentera udara, juruterbang Kapten S. Thayala Kumar Ravi Varman.

Siapa kata wanita itu kaum yang lemah?

Anak kelahiran Sandakan, Sabah ini berjaya membuktikan bahawa beliau mampu berdiri sama tinggi duduk sama rendah dengan lelaki.

Sehingga sekarang beliau memegang rekod sebagai Wanita Dari Asia Pertama yang menjadi juruterbang jet pejuang Mikoyan MiG-29.

NORASHIKIN ONN

Sebagai Kapten Wanita Pertama AirAsia mulai tahun 2009, Shikin yang mengikuti kelas penerbangan di Florida, Amerika Syarikat (AS), memandang tinggi pada kemampuan wanita pertama yang pernah menerbangkan pesawat menyeberangi Lautan Atlantik, Amelia Earhart pada tahun 1928.

“Bagi saya, seorang juruterbang memerlukan kefahaman dan kearifan yang tinggi dalam melaksanakan tanggungjawabnya dengan penuh dedikasi. Dalam masa-masa getir, dia perlu bertindak dengan tenang, tidak panik dan mengikut prosedur yang ditetapkan,” katanya yang pernah berhadapan dengan cuaca buruk dalam perjalanan pulang dari China ke Malaysia.

Sebelum berkhidmat di AirAsia, Shikin menyertai Pelangi Air pada tahun 1996. Empat tahun kemudian, dia dinaikkan pangkat menjadi kapten. Selepas lapan tahun bersama syarikat tersebut, Shikin mengundurkan diri buat seketika untuk melanjutkan pelajaran di peringkat ijazah Sarjana dalam bidang pengurusan Teknologi Maklumat.

Sebelum itu, dia menerima ijazah Sarjana Muda dalam bidang Seni Persembahan dan Pengurusan di AS.

Wanita cekal itu juga menubuhkan 4B Kelab Penerbangan Belia pada tahun 1993 yang masih beroperasi di Melaka. “Saya tidak pernah merancang untuk bersara dari bidang ini kecuali kesihatan saya tidak mengizinkan,” katanya.

“Sebelum bersara, saya mahu menerbangkan pesawat ke New York dan berjumpa semula dengan kawan-kawan lama. Lagipun, saya gemar mendarat dan berlepas dari lapangan terbang sibuk seperti di Chicago,”tambah Shikin yang kini dalam peringkat mendapatkan ijazah doktor falsafah (Ph.D) dalam bidang pengurusan Teknologi Maklumat.