,

WAHI, PEMILIK PULUHAN BUAH KERETA SEWA!

Nama Saya Wahi Bin Abd Rashid. Saya di lahirkan pada tahun 1979 di Kedah Darul Aman. Semenjak kecil keluarga saya telah berpindah ke  Pahang kerana ayah ditawarkan menjadi peneroka Felda di sana.

Kisah saya pada zaman kanak-kanak tidak banyak berbeza dengan anak peneroka Felda yang lain. Setiap hari saya akan pergi ke sekolah dan sekiranya cuti, saya akan membantu keluarga di ladang kelapa sawit.

Sekiranya ada kelapangan, saya akan membantu ayah menguruskan bengkel membaiki kenderaan di rumah.

Syukur Alhamdulillah berkat doa ibu dan ayah, saya berjaya belajar hingga ke menara gading. Pada tahun 2002 saya berjaya menamatkan pengajian ijazah sarjana muda di dalam bidang sains sekitaran dari Universiti Malaysia Sabah.

Walaupun sudah memegang segulung ijazah, namun mendapatkan pekerjaan yang sesuai merupakan satu cabaran yang besar kepada saya. Tidak tahan menganggur terlalu lama, akhirnya saya bekerja dengan sebuah syarikat pelancongan yang terlibat di dalam bisnes kereta sewa.

Jawatan saya tidaklah setinggi mana, boleh dikatakan saya hanya pekerja am sahaja di syarikat berkenaan. Sayalah pencuci kereta, budak suruhan, penjaga kaunter kereta sewa dan kadangkala menjadi pemandu teksi sapu.

Walaupun jawatan saya tidak glamor, namun entah mengapa saya amat suka dengan kerja berkenaan. Mungkin saya suka melaram dengan pelbagai jenis kereta syarikat ke sana dan ke mari.

Walau bagaimanapun saya berasa agak malu dengan rakan-rakan di Universiti. Ada yang sudah menjadi pegawai kerajaan dan ada juga yang bekerja sebagai eksekutif di syarikat swasta. Saya pula jauh ketinggalan di belakang.

Setelah setahun bekerja dengan syarikat berkenaan, saya mengambil keputusan menyambung pengajian di peringkat sarjana (Master) di Universiti Malaysia Sabah. Pada tahun 2005 saya berjaya menamatkan pengajian sarjana dan ditawarkan bekerja sebagai tutor di Universiti Putra Malaysia Kampus Bintulu.

Buat pertama kali saya berasa seronok kerana dapat menyandang jawatan setaraf dengan kelulusan saya. Cemburu dengan gaya hidup ranggi rakan-rakan yang sudah bekerja lebih awal daripada saya, maka saya cuba meniru gaya hidup mereka. Saya cuba memiliki apa yang mereka ada.

Saya tidaklah boros, tetapi saya cuba memiliki apa yang sepatutnya saya ada. Maklumlah dah penat belajar tinggi-tinggi, mahu juga memakai pakaian cantik, berjalan ke sana-sini, beli peralatan elektrik, perabot rumah, gajet dan ehem ehem berkahwin.

AKIBAT BANYAK HUTANG

Sekiranya tidak mampu membeli secara tunai, saya akan menggunakan kad kredit. Lama-kelamaan hutang saya semakin banyak. Setiap bulan saya sentiasa runsing memikirkan duit gaji yang semakin tidak cukup. Sampai satu tahap, saya tidak mampu membayar bil air dan elektrik di rumah.

Kebiasaannya gaji saya habis licin setelah 2 minggu menerimanya, bila tidak cukup duit, saya akan menggunakan kad kredit. Maka tidak hairanlah hutang saya semakin lama-semakin banyak. Pada masa itu saya mempunyai 4 kad kredit dengan hutang sebanyak RM18,000.

HIJRAH MENJADI USAHAWAN

Puas saya memikirkan bagaimana hendak mengatasi masalah tidak cukup wang. Saya cuba bekerja lebih kuat lagi, namun ia tidak dapat menyelesaikan masalah kewangan saya. Pada penghujung tahun 2006, saya mengambil keputusan untuk memulakan perniagaan secara sambilan.

Pada mulanya saya tidak tahu hendak berniaga apa. Saya mencuba berbagai-bagai jenis perniagaan. Saya pernah menjual cenderamata, pakaian berjenama tiruan, agen penjual minyak pelincir kenderaan, perladangan kelapa sawit, gerai minuman, agen hartanah dan kereta sewa.

Walau bagaimanapun hampir ke semua perniagaan itu menemui kegagalan. Hutang saya juga semakin bertambah akibat kerugian dalam setiap perniagaan yang saya ceburi. Namun saya tidak berputus asa, saya tetap meneruskan usaha demi mengubah nasib hidup saya.

Sungguh pun begitu, di sebalik kegagalan semua bisnes yang saya ceburi, ada satu bisnes yang berpotensi iaitu bisnes kereta sewa. Rupanya baru saya sedar, peluang untuk berjaya lebih tinggi sekiranya saya melakukan sesuatu yang saya minat dan mahir. Tanpa membuang masa saya terus fokus kepada bisnes berkenaan.

Bermula dengan modal RM3,000 saya membeli 2 buah kereta kancil terpakai dan mula menyewakannya. Syukur alhamdulillah perniagaan saya mendapat sambutan. Pada tahun 2008 saya mendaftarkan sebuah syarikat kecil bernama Green Matrix Enterprise untuk memudahkan saya berurusan dengan pelanggan korporat.

Saya mula membangunkan perniagaan itu sedikit demi sedikit. Syukur alhamdulillah bisnes kereta sewa saya terus mendapat sambutan. Keuntungan daripada perniagaan saya gunakan untuk menambah bilangan kereta sedikit demi sedikit.

Pada tahun 2011 syarikat saya sudah memiliki 70 buah kereta. Pada tahun yang sama saya mengambil keputusan untuk berhenti kerja untuk menumpukan sepenuh perhatian terhadap perniagaan saya.

Bagi mengembangkan perniagaan ke seluruh negara, saya telah menaik taraf syarikat kepada Green Matrix Enterprise Travel & Tours Sdn Bhd (961710-U). Saya mula membuka cawangan di seluruh negara dengan menjalinkan kerjasama dengan beberapa rakan niaga kereta sewa.

Syukur alhamdulillah perniagaan saya terus berkembang dari masa ke semasa.

BERKONGSI PENGALAMAN

Semenjak mengambil keputusan berhenti kerja dan berhijrah menjadi usahawan sepenuh masa, saya mula menerima email daripada rakan-rakan yang meminta saya memberi tunjuk ajar bagaimana hendak mengikut jejak langkah saya.

Pada mulanya saya berasa rendah diri, saya bukanlah ahli perniagaan yang sudah bergelar jutawan. Saya juga tidak mempunyai latarbelakang pendidikan di dalam bidang perniagaan. Namun, adakalanya saya terfikir, apa salahnya sekiranya saya berkongsi pengalaman yang ada. Mungkin sumbangan kecil saya ini dapat membantu mereka yang mahu berhijrah menjadi usahawan.

Saya mula berkongsi pengalaman di dalam facebook, blog, menulis buku dan memuat naik video di dalam you tube. Saya juga pernah dijemput menjadi speaker di dalam seminar keusahawanan. Respon positif daripada rakan-rakan, memberikan semangat kepada saya untuk terus berkongsi pengalaman di dalam dunia perniagaan.

Saya berharap usaha kecil saya ini memberi manfaat kepada sesiapa sahaja yang berminat untuk menjadi usahawan. Insya Allah.

ps : sekiranya anda ada soalan, saya boleh dihubungi melalui link berikut

Email : [email protected]
Facebook : www.facebook.com/WahiAbdulRashid

 

(petikan blog wahiabdrashid.com)