, ,

KULASINGAM…DITEMBAK BOTAK CHIN, DISIMBAH ASID NAMUN TAK TUNDUK PADA PENJENAYAH!

BEKAS Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur dan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Johor, S Kulasingam adalah pegawai polis paling digeruni penjenayah sekitar 70-an.

Beliau yang lebih dikenali sebagai Kula di kalangan rakan, dianggap antara yang terbaik dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) berikutan keberanian dan keazamannya membanteras penjenayah ganas ketika itu.

Sepanjang kerjanya, beliau mengetuai banyak operasi memerangi penjenayah berbahaya selain menangkap mereka.

Antaranya adalah memburu Botak Chin yang banyak terbabit dengan rompakan bersenjata serta menangkap Kepong Chai, yang merogol ramai wanita sebelum mencederakan wajah mereka dengan pisau.

Kejadian paling diingati mengenai Kula adalah kegagalan Botak Chin membunuhnya dalam serangan hendap di persimpangan lampu isyarat Jalan Davis-Jalan Pekeliling pada 22 November 1975, walaupun 11 tembakan jarak dekat dilepaskan ke arahnya.

Mendiang sebaliknya hanya terkena satu tembakan di dada dan masih mampu memandu ke Balai Polis Cheras yang terletak tidak jauh dari tempat kejadian untuk mendapatkan bantuan.

Ketika diminta menceritakan mengenai kejadian itu tahun lalu, Kula berkata: “Saya menghadapi kesukaran bernafas berikutan kecederaan itu namun berjaya memandu ke Balai Polis Cheras. Serangan berkenaan dan peluru yang terkena dada dan organ dalaman mungkin membunuh saya ketika itu namun saya rasa masa saya belum tiba”.

Nyata kejadian itu tidak sedikit pun melemahkan semangat Kula.

Beliau kembali bertugas tiga bulan selepas menjalani pembedahan dan rawatan susulan – bersedia memburu penjenayah seterusnya di ibu negara.

Itu bukanlah kejadian tunggal hampir meragut nyawanya sepanjang 30 tahun berkhidmat kerana lima bulan kemudian, mendiang sekali lagi ditembak.

Kali ini, ketika beliau bersama sekumpulan anggota polis menyerbu rumah persembunyian kumpulan perompak yang baru saja merompak sebuah kedai emas di Petaling Jaya.

Dalam kejadian itu, Kula terkena tembakan di perut, namun operasi itu berjaya dan polis menemui barangan rompakan manakala empat daripada perompak ditembak.

Selain itu, Kula juga pernah disimbah asid menyebabkan kecederaan parah pada dada dan kaki, hampir ditimpa pokok tumbang – menyebabkan pembantunya terbunuh, hampir ditetak seorang lelaki mengamuk dan hampir ditembak ketika operasi di Sarawak menyebabkan rakan sepasukannya terbunuh.

Kula yang menyertai PDRM ketika berusia 19 tahun pada 1951 sebagai Inspektor Percubaan menyerlahkan bakat kepemimpinan dan kemampuan menyelesaikan banyak kes jenayah walaupun pada awal pembabitannya.

Komitmennya itu tidak sia-sia apabila dinaikkan pangkat kepada Asisten Superintendan pada 1957 dan seterusnya mendaki kegemilangan sehingga menjadi Timbalan Ketua Siasatan Jenayah Kuala Lumpur sebelum dinaikkan pangkat menjadi Ketua Siasatan Jenayah Johor.

Disebabkan dedikasi dan keberaniannya dalam menghadapi penjenayah sepanjang berkhidmat, Kula dianugerahkan Pingat Gagah Berani (PGB) dan Ahli Mangku Negara (AMN) sebagai menghargai jasanya.

Selepas bersara pada 1985, Kula yang tidak berkahwin meneruskan kehidupannya di sebuah apartmen dua tingkat di Johor Bahru seorang diri, menikmati ketenangan selepas puluhan tahun memerangi penjenayah.

Beliau pernah ditanya mengenai keengganannya berumah tangga, namun memberi jawapan ringkas: “Bidang kerja yang merbahaya seperti ini memerlukan sedikit pengorbanan,” katanya.

Ia membuktikan komitmen Kula dalam menjalankan tugas memburu penjenayah berbahaya sehingga tidak mahu kerjayanya terhalang dengan ancaman terhadap keselamatan keluarganya.

Pada November 2007, Kula, 77, menghembuskan nafas terakhir di sisi adiknya, Annamah, 74, dan abangnya Dr Ratnasingam, 78, di Hospital Sultanah Aminah di Johor Bahru.

Kali ini beliau pergi akibat penyakit, bukan disebabkan serangan hendap atau tembakan penjenayah, sebaliknya kerana ‘masanya sudah tiba’.

SALUTE!