,

RAMLEE AWANG MURSHID NOVELIS SUKSES SETELAH 12 TAHUN BUKU TAK LAKU!

Beliau adalah nama gah yang telah banyak memberi sumbangan dalam dunia penulisan novel, Ramlee Awang Murshid.

Karya-karyanya bukan sahaja berkualiti dan mendidik, malah berjaya menyemarakkan semangat membaca dalam kalangan masyarakat Malaysia meliputi pelbagai peringkat umur.

Anak kelahiran Papar, negeri di bawah bayu ini telah mula menempah nama seawal tahun 90-an sehingga berjaya mencipta fenomena luar biasa dalam kalangan peminat novel tempatan.

Dilahirkan pada 4 November 1967, penulis yang bakal menginjak ke usia 47 tahun ini mendapat pendidikan awal di Sekolah Rendah Kapayan, Kota Kinabalu, kemudian melanjutkan pelajaran ke Sabah College, dan seterusnya meraih ijazah dalam bidang Komunikasi dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Ketika di UKM, Ramlee pernah menerima Anugerah Pelajar Terbaik Komunikasi (2000), Watikah Penghargaan Khas (2001) dan pelajar terbaik keseluruhan Pusat Pengajian Media dan Komunikasi UKM (2002).

Penulis Magis ini mendirikan rumah tangga dengan Dayang Aminah Datuk Aliudin pada 19 Februari 1990 dan dikurniakan seorang anak lelaki bernama Muhammad Aizuddin yang kini berusia 14 tahun.

Melalui karya-karyanya, Ramlee banyak merangkul anugerah dalam dunia penulisan.

Antaranya, novel Igauan Maut yang diterbitkan pada 1995  merupakan novel pertama memenangi hadiah tempat kedua dalam peraduan menulis novel dewasa anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Negeri Sabah dan sekali lagi dipilih memenangi Hadiah Sastera Negeri Sabah 1994/1995.

Selain itu, Ramlee diiktiraf sebagai pemenang kedua Hadiah Sako bagi Novel Nasional 2002 menerusi novelnya, Pei Pan.

Anugerah-anugerah lain yang diraihnya termasuklah Hadiah Karya Sulung sempena perayaan 25 tahun DBP cawangan Sabah, anugerah novelis prolifik Alaf 21, Hadiah Sastera Negeri Sabah 2006/2007 menerusi novel Bagaikan Puteri, dan tempat ketiga anugerah novel pilihan pembaca Berita Harian menerusi novel Hijab Sang Pencinta pada 2009.

Ramlee menjelaskan dia memiliki prinsip dalam menghasilkan karya kreatif dan menggelarnya sebagai ‘prinsip Ramlee Awang Murshid’.

Mengulas tentang perkara tersebut, novelis Ranggau ini menyatakan prinsipnya adalah mencari keberkatan ALLAH dalam penulisan.

“Apa yang saya tulis adalah tanggungjawab saya, bererti itu yang akan saya junjung di depan ALLAH kelak.

“Jadi, jika perkara buruk yang saya tulis dalam novel saya, itulah yang akan saya persembahkan di akhirat nanti. Begitu juga jika sebaliknya,” katanya.

Dengan latar belakang pendidikannya dalam jurusan komunikasi, penulis Tombiruo ini pernah berkhidmat sebagai wartawan penyiaran dan penerbit rancangan di Radio Televisyen Malaysia (RTM), Angkasapuri selama hampir 20 tahun.

Kerjaya sebagai wartawan, memerlukan Ramlee banyak membaca dan mengembara, justeru pengalaman yang ditimba melalui kerjaya tersebut digarap ke dalam penulisannya.

“Semasa di RTM, setiap tahun saya akan dapat tugasan yang membolehkan saya merantau dan melihat negara orang. Dari situ saya memahami sosiobudaya masyarakat setempat lain dan menambah pengetahuan saya dalam bidang penulisan kreatif,” kata Ramlee.

Tidak hairanlah latar tempat dalam karyanya tidak terhad kepada Malaysia sahaja, namun turut melibatkan negara Asia Timur seperti Jepun yang digarap dalam novel Hatiku di Harajuku.

Ketika diajukan soalan antara karier sebagai wartawan dan penulis, mana yang lebih memberi kepuasan buat Ramlee, dia menyatakan kedua-duanya sama penting dan berasaskan faktor penulisan.

“Penulisan kreatif adalah sesuatu yang saya suka dan kewartawanan adalah tanggungjawab saya sebagai pekerja. Oleh itu, tidak adil jika saya membezakan kepuasan antara kedua-dua kerjaya ini.

“Saya matang dalam penulisan novel melalui penulisan kewartawanan. Saya terapkan elemen ‘5W 1H’ berserta elemen lain seperti ‘make believe’, ‘hook’ dan teori ‘question mark’ semasa menulis,” ujarnya.

Zaman remaja dan awal perkahwinannya, Ramlee banyak terlibat dengan pementasan teater dan bertindak sebagai pengarah, penulis skrip malah pelakonnya sekali.
Dia turut menulis skrip drama radio setelah berpindah ke Kuala Lumpur pada tahun 1993.

Obses terhadap kegilaan

Terkenal mempertaruhkan genre thriller dalam karyanya sehingga mendapat jolokan novelis thriller nombor satu Malaysia, Ramlee menjelaskan pengalaman hidup sebagai anak pegawai penjara banyak membantunya menggarap unsur tersebut dalam novel-novelnya.

Novel-novel terkenalnya seperti Mandatori, Fiksyen 302 dan Rahsia Perindu berkisar tentang pesakit mental, justeru Ramlee hanya ketawa apabila ditanya adakah dia seorang yang obses dengan kegilaan apabila kerap menggunakan subjek tersebut dalam karyanya.

“Saya pernah ambil Psikologi Tingkah Laku sebagai subjek minor semasa menuntut di UKM. Waktu buat dokumentari untuk subjek tersebut, saya dengan rela hati jalankan penggambaran di Hospital Tampoi.

“Pengalaman di hospital sakit jiwa memberi saya peluang untuk bereksperimentasi dengan kegilaan. Tapi sekarang cerita fasal gila seperti skizofernia, halusinasi dan psychopath sudah ramai orang buat, jadi saya akan cari satu ‘kegilaan’ baharu untuk saya tampilkan dalam penulisan saya kelak,” katanya.

12 tahun buku tak laku

Seperti insan-insan berjaya lain, Ramlee pernah berdepan dengan dugaan apabila novelnya pernah ditolak oleh kedai buku dan tidak laku selama 12 tahun.

Ramlee bagaimanapun tidak berputus asa malah terus bersangka baik dengan ALLAH dan menganggap perkara tersebut sebagai ujian.

“Lepas 12 tahun buku saya tak laku, ALLAH beri saya ilham untuk buat zakat. Lepas berzakat, saya tulis novel Satu Janji dan buku itu dapat sambutan!

“Kejayaan novel-novel saya hari ini adalah berkat doa dan zakat. Sebab saya yakin dengan ALLAH, dengan zakat hasil kita akan bercambah dan ternyata ia berkesan,” ujarnya yang meminati kelab bola sepak Liverpool ini.

Setelah tiga tahun menamatkan khidmat di RTM, Ramlee memberi tumpuan penuh pada penulisan novel dan projek produksi filem bakal muncul tidak lama lagi.- SINAR HARIAN