, ,

SECEBIS KISAH TAUKEH HABIB JEWELS…

DI MANA tumpah kuah kalau tidak ke nasi! Hanya jauhari yang mengenal maknikam! Dua pepatah lama itu dapat menggulung dengan tepat sifat dan wibawa seorang anak tempatan yang sedang menempa nama dalam bidang industri perniagaan batu permata dan berlian antarabangsa.

Beliau yang namanya sudah sinonim dengan Habib Jewels dan juga Pengarah Urusannya ialah Meer Sadik Habib dan keluarganya sudah terbabit dengan perniagaan tersebut lebih 40 tahun lalu.

Kalau dulu ayahnya, Habib Mohamed Abdul Latif, seorang saudagar yang disegani di Pulau Pinang dengan barang kemas dagangannya sering dijadikan buah tangan anggota tentera Amerika yang singgah di Pulau Mutiara itu pada tahun 60 -an, untuk kekasih atau ibunda tapi kini Meer Sadik sudah sampai ke Sotheby’s dan Christie’s di London, New York atau Hong Kong, sambil memperagakan koleksi peribadi dan syarikatnya yang bernilai berpuluh juta ringgit.

Paling membanggakan dia berjaya menjual beberapa koleksi berlian untuk dijadikan milik mereka yang kaya, ternama dan menawan dalam beberapa auction yang dihadirinya sendiri di Bandar raya Utama dunia tersebut.

Kesemua kejayaan itu bukan dicapai dengan sekelip mata namun memakan banyak masa, pengamatan, pemerhatian dan tidak kurang juga ilmu dan pengalaman yang ditimbanya sejak terbabit dalam perdagangan batu permata, emas dan berlian warisan keluarganya.

Meer adalah anak keempat daripada lima orang adik-beradik dan bakat seni tukang emas dan berlian diwarisi dari ayahnya sendiri yang masih mendampinginya saban hari untuk memastikan perniagaan mereka berjalan lancar.

“Walaupun begitu ayah saya banyak memberi kepercayaan untuk saya menjalankan perniagaan ini.

“Saya dididik sejak kecil untuk memahami perniagaan seni pertukangan emas dan intan berlian atau batu permata tetapi melayakkan diri menjadi seorang pakar permata dengan mengikuti pengajian Gemologi selama setahun selepas tamat pengajian dalam pengurusan perniagaan di Kansas, Amerika Syarikat.

“Walaupun saya sering mengikuti ayah ke Burma, Thailand, India dan lain-lain negara untuk membeli batu-batu permata, sejak berusia 15, tapi saya mendapatkan pendedahan yang lebih bererti dengan pendidikan formal termasuk di segi geologikal.

“Saya pulang ke tanah air pada Januari 1986 dan bulan November tahun itu kami membuka perniagaan di Semua House di Jalan Masjid India.

Mulai saat itu kami memulakan konsep retail atau peruncit kerana saya percaya saya mempunyai kekuatan dalam bidang pemasaran dan ingin meluaskan perniagaan kami.

“Kami juga kini mempunyai empat pusat francais.

Pada tahun 1997 saya membuka sebuah kilang sendiri di Kuala Lumpur dan kemudiannya berjaya membina sebuah bangunan untuk ibu pejabat setinggi lima tingkat di Ampang dengan barisan petugas seramai 200 orang.”

“Alhamdulillah, walaupun ekonomi meleset kami masih bertahan dan tidak seorang pun daripada kakitangan kami diberhentikan kerja.” jelas saudagar itu.

Meer Sadik menyatakan pendekatan Habib Jewels sejak dahulu hingga sekarang ialah mengeluarkan barang-barang kemas wanita dan lelaki yang bermutu tinggi, dengan rekaan yang menarik dan terbaik untuk pelanggan.

Memang saudagar berlian ini tidak menafikan betapa sukar meneruskan urusan perniagaan di waktu krisis ekonomi namun di sebaliknya terdapat rahmat yang tersembunyi.

“Saya tetap meminta para pereka dan tukang-tukang emas membuat barang-barang kemas yang tidak kurang seni pembuatan dan daya estetiknya dan pelanggan kami tetap datang membeli mengikut kadarnya dan aktiviti perniagaan tetap berjalan lancar walaupun keadaan ekonomi kita lembap.

Sebagai seorang saudagar saya terpaksa memikirkan cara mana untuk melariskan mana-mana barang kemas yang masih dalam simpanan kami dan terdapat koleksi peribadi yang eksklusif dan sangat berharga dalam simpanan.

“Saya berjaya membawa beberapa koleksi yang sangat cantik dan indah pembuatannya serta nilainya begitu tinggi ke majlis lelongan di Sotheby’s dan Christie’s, seiringan dengan koleksi daripada saudagar permata handalan dunia seperti Cartier, Bulgari, St. Moritz dan lain-lain nama yang setaraf dengannya.

Apayang saya dapati ialah koleksi Habib Jewels adalah setanding dengan mana-mana barang kemas keluaran jenama tersohor itu malah ada beberapa koleksi peribadi saya itu saya fikir adalah lebih baik” katanya penuh yakin.

Selama menerajui Habib Jewels, beliau sering menolak mana-mana hasil ciptaan tukang emasnya yang kurang baik kerana ingin mempertahankan mutu semua barang kemas yang diperniagakan.

Beliau kini mempunyai banyak show room di seluruh Malaysia dan terdapat dua buah kedainya di KLIA dan KLCC untuk memenuhi cita rasa pengguna di negara ini.

Bagi seorang saudagar permata berlian perniagaannya melibatkan wang berjuta-juta ringgit dan soal untung rugi adalah sesuatu yang perlu ditangani dengan bijak.

Tapi beliau percaya masyarakat tempatan perlu dididik dengan tanggapan baru bahawa membeli barang kemas sebenarnya adalah satu pelaburan untuk masa hadapan.

“Kalau anda membeli daripada jauhari peribadi anda seperti di Habib Jewels sesuatu koleksi yang bernilai tinggi pastinya boleh dijadikan warisan keluarga dan juga boleh disimpan sebagai satu pelaburan.

“Ia boleh dijadikan cagaran untuk sesuatu urus niaga dan juga nilainya mungkin akan berlipat kali ganda pada kemudian hari”.

“Itulah yang pernah saya yakinkan kepada seorang pelanggan dan akhirnya dia telah membeli barang kemas yang bernilai RM100,000, daripada saya sendiri.

“Saya kini banyak menghabiskan masa di ibu pejabat dan memastikan perniagaan berjalan lancar dan rancak dan saya sendiri yang melayan para pengunjung Habib Jewels.

“Saya mengambil pendekatan ini kerana percaya banyak pembeli mahu bertemu dengan pemilik sesebuah kedai emas mungkin mahu mendapatkan kepastian mengenai sesuatu barang kemas dan mendapatkan berbagai-bagai maklumat terperinci mengenai industrinya.

“Bak kata orang, sentuhan daripada jauhari peribadi mereka boleh memberikan mereka lebih keyakinan dan kepuasan untuk meneruskan urus niaga selanjutnya.” katanya.

sumber Utusan Malaysia