, , ,

SYED MANSHOR…INILAH PEMILIK ADABI!

Bermula dengan dua produk kegunaan harian pada awal 1970an, siapa sangka produk perintis itu terus menjadi titik tolak kepada pengasasnya untuk mula mempelbagaikan produk bagi memenuhi pasaran semasa.

Nama Datuk Syed Manshor Syed Mahmood mungkin jarang didengar tetapi sumbangan dan peranannya dalam memajukan produk rempah ratus jenama Adabi tidak dapat dipertikaikan lagi.

Mengimbau sejarah produk jenama Adabi, Syed Manshor adalah individu pertama yang mengusahakan perniagaan itu dengan menjual tepung goreng pisang dan perencah nasi goreng di pasar basah sekitar Kuala Lumpur awal 70an.

Sajian istana di zaman silam dipilih sebagai moto bagi memberi gambaran yang lebih jelas kepada produk sekaligus memberi kelainan bagi mencapai standard untuk tujuan eksport dan pasaran tempatan.

Dari segi logo, semuanya lahir secara tidak sengaja dan tercetus ketika Syed Manshor melihat buku sekolah anak perempuannya. Logo itu dikatakan memberi gambaran tentang keunggulan rempah ratus masyarakat melayu di samping mengembalikan kegemilangan makanan dan sajian melayu sejak berkurun lama.

Melihat peluang dan pasaran yang kian stabil, Adabi terus mengorak langkah dan pada 1986 Adabi berpindah ke kilang yang lebih besar di Taman Perindustrian Kepong di samping kilang tambahan di Taman Perindustrian Ehsan dalam tahun 1990 dan 1992.

Sehingga kini, 80 hingga 90 peratus produk dikeluarkan menerusi kilang di Rawang, manakala produk sardin dihasilkan oleh kilang di Indonesia. Kawasan itu juga merangkumi gudang untuk penggumpulan stok, pusat pentadbiran serta penyelidikan dan pembangunan produk.

Kini, produk Adabi telah membentuk empat segmen yang terdiri daripada serbuk rempah ratus, pes, sos soya dan tepung campuran dengan tiga jenama dalaman seperti Adabi, Lazat dan produk terbaru berasaskan minuman, Asfa yang terdiri daripada minuman soya, asam jawa dan air mineral.

Memiliki kumpulan penyelidik yang kuat dan kreatif, yang sentiasa berdedikasi untuk mencipta produk makanan baru dan inovatif. Syarikat telah berkembang dengan pesat, iaitu daripada 25 kakitangan dan jualan tahunan sebanyak RM2 juta pada tahun 1984, sehingga ke kedudukan saat ini yang mana mempunyai lebih dari 400 anggota dan mensasarkan jualan tahunan sebanyak RM120 juta dapat dikaitkan dengan kejayaan syarikat yang telah berjaya memperkenalkan pelbagai produk baru sepanjang beberapa dekad.

Adabi telah menerima pelbagai anugerah dan penghargaan di atas komitmen yang telah diberikan terhadap memastikan kualiti produk keluaran. Bahkan, produk Adabi adalah yang pertama untuk menerima sijil Halal dari Jabatan Hal Islam dari Jabatan Perdana Menteri. Di antara anugerah yang lain yang dimenangi adalah Superbrand Status (Reader’s Digest Malaysia), International Makanan & Minuman Award (New Millenium Award – Paris) dan Anugerah Kecemerlangan Industri (MITI) dan Anugerah Produk Terpuji (Institut Teknologi Pangan Malaysia).

SUMBER