,

THE MAGNIFICIENT 12, PASUKAN POLIS TERBAIK TUMPASKAN BOTAK CHIN!

Hari ini adalah Hari Ulang Tahun PDRM ke 210. Terlalu banyak kisah suka duka, semangat dan keperwiraan pasukan untuk diangkat.

Namun aku mengambil keputusan untuk bercerita mengenai sebuah kumpulan pegawai dan anggota polis terbaik yang telah ditubuhkan khas oleh PDRM bagi memburu penjenayah ‘legenda’ – siapa lagi kalau bukan BOTAK CHIN.

Sedikit mengenai Botak Chin, rompakan terbesar yang pernah dilakukannya pada 26 Oktober 1975.

Dia merampas RM218,000 selepas menembak pengawal keselamatan yang membawa wang di Kelab Lumba Kuda. Botak Chin kemudian ke Thailand membeli senjata api menjadikannya memiliki 19 senjata api, lima bom tangan dan kira-kira 1,000 peluru.

Keganasannya semakin menjadi-jadi apabila menembak Ketua Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, DSP S. Kulasingam untuk menghalang gerakan memburu ke atasnya.

Untuk itu, sebuah kumpulan khas yang digelar MAGNIFICIENT 12 telah ditubuhkan.

Mereka adalah pegawai dan anggota detektif TERBAIK yang dipilih khas bagi memburu Botak Chin.

Ia dianggotai Tuan Gilbert Ang, Tuan Gui Poh Choon, Tuan Kenny Woodworth, Tuan Bahwandi Hiralal, Tuan G. Ralingam,Tuan Ong Kim Hock, Sarjan Chong Kam Wah, Koperal Leong See Fook dan empat lagi yang aku tak dapat kesan nama mereka.

Dalam tempoh hanya dua minggu pasukan khas itu ditubuhkan, iaitu pada 16 Februari 1976, mereka berjaya mengesan Botak Chin dan konco-konconya bersembunyi di sebuah kilang papan Eng Leong Swmill di Batu 3, Jalan Ipoh, Kuala Lumpur.

Pada pukul 10 malam, team Tuan Gilbert menyerbu di bahagian depan manakala team Tuan Kenny menyerbu di bahagian belakang.

Setelah menunggu beberapa lama, sebuah kereta Mazda putih muncul dalam kesunyian malam itu dan berhenti di hadapan kilang papan terbabit. Tiba-tiba 3 orang lelaki telah keluar dari kereta Mazda itu. Memang tak salah lagi, salah seorang lelaki itu adalah suspek yang diburu iaitu Botak Chin. Dia kelihatan tenang dan lengkap bersenjata masuk ke dalam kilang tersebut. Botak Chin mengarahkan beberapa orangnya berkawal di kawasan kilang sebagai langkah keselamatan.

Pihak polis dengan sabar menunggu peluang untuk melakukan serbuan ke kilang papan terbabit, orang-orang yang diharapkan oleh Botak Chin untuk mengawal keselamatannya leka dan lalai berbual sesama sendiri.

Peluang keemasan ini digunakan sebaik mungkin oleh pihak polis untuk melakukan serbuan. Empat pasukan penggempur utama masuk dan pengawal yang diharapkan berkawal terkejut dan ramai yang lari lintang pukang, tetapi berjaya juga diberkas oleh polis.

Botak Chin dan dua orang kanannya iaitu Beh Kok Chin (Pangkor Chai) serta Hiew Foo Khen (Ah Keong) yang sedang berehat di dalam pejabat kilang papan itu, mula menyedari kekecohan yang berlaku di luar kawasan kilang terbabit.

Setelah mereka mempersiapkan senjata masing-masing, maka berlakulah pertempuran yang amat sengit pada malam tu.

Untuk pengetahuan korang, pihak polis melepaskan hampir 500 das tembakan serta beberapa das gas pemedih mata dalam serbuan tersebut!

Manakala Botak Chin dan dua orang kanannya membalas juga setiap kali mereka ditembak oleh pihak polis, dan selain itu turut membaling sebutir bom kepada pihak polis dalam drama tembak-menembak itu.

Dalam pertempuran itu, Botak Chin telah ditembak di tangan dan kaki. Dia cuba bangkit dan merangkak untuk mendapatkan dua orang kanannya, tetapi setelah dia menjumpai dua orang pengikut setianya itu, jasad mereka tidak bernyawa lagi…

Setelah bunyi tembakan telah reda, pihak polis mula memasuki ke dalam pejabat kilang papan tersebut, yang mana telah menjadi kubu bagi Botak Chin dan dua orang kanannya.

Tetapi yang peliknya, Botak Chin masih tidak kelihatan, lalu Ketua Polis Daerah Sentul masuk lagi ke dalam, dan tiba-tiba dia mendengar satu suara yang sayup-sayup memanggilnya, “sir, please help me sir”…Apabila dia menoleh, sahlah itu adalah Botak Chin yang sedang bersembunyi di bawah meja.

Kehebatan MAGNIFICIENT 12 akhirnya berjaya menumpaskan serta melumpuhkan terus kekejaman penjenayah Botak Chin yang telah sekian lama diburu.

Namun sayang sekali, yang diangkat adalah Botak Chin kononnya dia penjenayah ala Robin Hood kerana memberi wang kepada orang miskin sedangkan kita terus melupakan jasa-jasa ahli kumpulan MAGNIFICIENT 12 ini khususnya dan PDRM amnya.

” Kita ditipu sekian lama kononnya Botak Chin itu bagi duit untuk orang miskin, hakikatnya duit itu diberi sebagai upah kepada orang ramai agar memberi maklumat padanya jika ternampak kehadiran polis, ” – Tuan Kenny

Beberapa tahun lepas aku sempat bertemu dengan Tuan Kenny dan Tuan Bahwandi di rumahnya di Cheras.

Tuan Gilbert sudah pun meninggal dunia manakala yang lain entah di mana dan apa khabar mereka.

Jadi sempena Hari Ulang Tahun PDRM ke 210 hari ini, aku abadikan penghormatan aku khas buat mereka, satu team yang telah mencatatkan sejarah tersendiri sebagai wira, wira yang dilupakan (unsung heroes).

The one and only – The Magnificient 12.

SALUTE!