,

USTAZAH SAKINAH BERJUANG DEMI WARGA SYRIA YANG MENDERITA!

SITI Sakinah Meor Omar adalah peminat drama-drama Syria ketika menuntut dalam jurusan Usuluddin di Universiti Umm al-Qura, Makkah. Keindahan muka bumi, bahasa dan kelembutan rakyatnya ketika berbicara benar-benar memikat perhatian wanita kelahiran Jitra, Kedah yang ketika itu sudah pun mempunyai dua cahaya mata sewaktu melanjutkan pelajaran di sana.

Namun siapa sangka, berbelas tahun selepas pulang ke tanah air, Siti Sakinah dikejutkan dengan konflik berdarah di negara berkenaan yang menyaksikan ribuan rakyatnya yang tidak berdosa mati di hujung senjata.

Hatinya remuk apabila keindahan bumi Syria yang beliau saksikan di dalam kaca televisyen sewaktu di Makkah dulu, kini musnah dibedil peluru dan bom yang tidak bermata. Lebih menyayat hati visual yang terhasil di depan matanya bukan lagi kisah keunikan dan kecantikan bumi Anbia tersebut, tetapi sebuah medan perang saudara yang entah bila akan menemui titik nokhtahnya.

 

” Saya menyintai Syria lama sebelum peperangan ini bermula…dan apabila tragedi ini terjadi, saya merasa terpanggil untuk membantu penduduk mereka yang sengsara akibat peperangan ini…dengan cara saya sendiri!,” katanya tegas sewaktu aku menemuinya di pejabat NGO Syria Care di Shah Alam baru-baru ini.

Siti Sakinah sendiri ada campuran ‘darah Arab’. Nenek beliau berasal dari Arab Saudi.

Menyingkap mengenai ‘wanita besi’ ini, Siti Sakinah memberitahu beliau sebenarnya adalah anak seorang pegawai tentera. Sebagai anak seorang pegawai tentera, beliau dan sekeluarga sering berpindah randah. Malah beliau sendiri pernah belajar di United Kingdom kerana mengikut orang tuanya.

Namun kecenderungannya dalam bidang agama membuatkan wanita berusia 49 tahun ini memilih untuk masuk ke Sekolah Maahad Hamidiah, Kajang sebelum meneruskan pengajian di Akademi Islam Universiti Malaya di Nilam Puri, Kelantan.

Tak lama di UM, Siti Sakinah memperoleh peluang yang dinanti-nantikan selama ini iaitu untuk melanjutkan pelajaran di Makkah.

Walaupun beliau dah berumahtangga dengan jejaka pilihannya, Abdul Muein Abdul Rahman, namun ia tidak menghalang Siti Sakinah ketika itu untuk menamatkan pengajiannya dengan cemerlang.

Selepas pulang ke tanah air, beliau menabur bakti sebagai tutor di UM Nilam Puri sebelum mengambil keputusan untuk menjadi suri rumah sepenuh masa sambil mengajar Al-Quran kepada ibu bapa yang memerlukan khidmatnya untuk anak-anak mereka.

” Bila konflik di Syria terjadi, saya mengambil keputusan untuk mengutip derma di dalam Facebook. Siapa sangka niat saya untuk menyalurkan hasil sumbangan yang saya peroleh bagi membantu masyarakat Islam di sana mendapat sambutan di luar dugaan. Pada satu ketika, kutipan pernah mencecah hingga RM30,000!

” Daripada hanya mengutip derma dalam FB, saya kemudiannya ditawarkan untuk berkhidmat di dalam NGO Syria Care sehinggalah dilantik sebagai pengerusi tidak lama kemudian,” katanya.

Ketika ditanya mengenai pengalaman suka dukanya berjuang untuk membantu masyarakat di bumi Syria ini, Siti Sakinah terdiam sebentar. Beliau kemudian menghela nafas panjang.

Ujar Siti Sakinah, ia bukan semudah yang disangkakan walaupun beliau tidak memilih untuk berjuang dengan ‘senjata dan peluru’.

Katanya, pelbagai persepsi dan polemik yang terpaksa beliau hadapi.

Tambahnya, selain berhadapan dengan pelbagai cabaran dan dugaan khususnya dalam mencari dana untuk disalurkan kepada mereka yang memerlukan di Syria, beliau juga terpaksa berhadapan dengan pelbagai persepsi liar daripada masyarakat.

” Nak buat benda baik ini memang banyak rintangannya. Maklumlah konflik di Syria telah mencipta pelbagai pandangan sama ada di kalangan masyarakat dunia mahupun di dalam negara kita sendiri. Ada yang menyokong perjuangan tentera Bashar, ada yang menyokong perjuangan puak yang mahu menentangnya, ada itu dan ada ini.

” Namun yang penting bagi saya, penderitaan penduduk dan rakyat Syria mesti ditangani dan diberi keutamaan walau apa pun persepsi masyarakat terhadap peperangan yang berlaku di sana. Inilah yang kami lakukan di Syria Care dan beberapa NGO lain sekarang…kami tidak ada kepentingan lain melainkan membantu saudara-saudara kita yang sedang mengalami penderitaan yang sangat dahsyat di sana.

” Nak menyakinkan orang ramai untuk menyumbang juga bukan mudah tetapi Alhamdulillah apa yang kami lakukan selama ini ternyata menepati objektif penubuhan Syria Care yang cuba sedaya upaya menyampaikan sumbangan para penderma terus ke kelompok sasar di sana,” kata Siti Sakinah yang menggunakan pelbagai saluran dan pertubuhan di Syria bagi memastikan setiap sumbangan rakyat negara ini sampai ke tangan penduduk yang menderita.

Dalam pada itu, Siti Sakinah tetap menyimpan perasaan terkilannya kerana sepanjang beliau menjalankan kerja-kerja kemanusiaan untuk rakyat Syria ini, beliau sendiri masih belum dapat memijakkan kaki ke negara berkenaan.

Namun beliau tetap isitqamah dan percaya setiap yang berlaku pasti ada hikmah di sebaliknya.

” Paling kuat saya pernah sampai pun cuma di khemah pelarian dan sempadan negara berkenaan. Bukan mudah untuk kita ke sana terutama di waktu ketegangan yang sedang memuncak seperti mana sekarang.

” Mungkin Allah lebih memerlukan saya di sini dan saya redha. Fizikal saya mungkin tidak di sana, tetapi kecintaan, kesungguhan dan doa saya akan terus bersama insan-insan yang tidak berdosa di Syria ini.

” Selain Tuhan, sumber kekuatan saya adalah suami dan anak kami yang lima orang itu…tanpa mereka yang sentiasa bersama saya di saat susah dan senang, tak mungkin saya dapat meneruskan perjuangan sampai ke tahap sekarang, ” ujar Siti Sakinah.

” Syria is just behind me.
The land I have never stepped on yet love with all my heart.
One day I will breath your air and walk your land.
One day…”

 

Salute Ustazah!