, ,

BUDAK FLAT SENTUL USAHAWAN TERKENAL

DIA pernah gagal dalam perniagaan hingga terpaksa menjual sayur dan surat khabar lama. Dia pernah diuji apabila mempunyai sumber kewangan terhad untuk membiayai pembedahan pintasan jantung ayah kesayangannya.

Paling menyedihkan suami yang menjadi sumber inspirasi dan tempat dia mencurahkan kasih dan sayang, hilang berhari lamanya dan hanya dimaklumkan terbujur kaku di bilik mayat hospital akibat diserang sakit secara tiba-tiba!

Namun bagi Zarinnah Mohideen, dia tidak boleh terus hidup dengan duka dan kesedihan. Akhirnya dengan semangat serta kecekalan, wanita berusia 39 tahun ini nekad tidak lagi mahu menoleh ke belakang. Dengan berbekalkan ribuan set risalah percuma (leaflet), dia pergi mengagihkannya dari satu rumah ke satu rumah, dari satu peti surat ke satu peti surat, bagi mempromosikan perniagaan katering perkahwinannya yang diusahakannya itu.

Hasilnya dalam tempoh empat tahun saja, ketika usianya baru menginjak 26 tahun, perniagaan katering yang diusahakannya telah membawa pulangan lebih RM1.5 juta!

Dan hari ini, syarikatnya, ZARLITH EVENTS AND MANAGEMENT SDN BHD telah memiliki sebuah gudang yang terisi ribuan pinggan mangkuk, ratusan helai pakaian pengantin, pelbagai set pelamin dan kanopi. Tak terkecuali sebuah banglo mewah yang dibuat khusus untuk memenuhi permintaan mereka yang mendambakan sebuah pakej perkahwinan yang eksklusif dan serba mewah di sebuah kawasan elit di Ampang, Selangor.

” Semua ini bukan terjadi dengan sekelip mata…saya masih ingat bagaimana kami berlima adik beradik dan mak ayah terpaksa berhimpit-himpit tinggal di flat Sri Terengganu dekat Sentul yang cuma mempunyai dua bilik tidur itu.

” Pada satu ketika, saya pernah baring diribaan emak sambil menangis kerana memikirkan apalah agaknya masa depan kami bila mengenangkan ayah yang ketika itu bertugas sebagai pemandu bas mini mula sakit-sakit, ibu yang tak bekerja, adik beradik masih di bangku sekolah dan sebagainya,” katanya sayu.

Mengenai ‘rahsia’ kejayaannya dalam bidang katering terutama bila berhadapan dengan beratus-ratus operator di ibu kota, Zarinnah berkata beliau tidak menganggap itu sesuatu halangan besar kerana ia secara tidak langsung memberi motivasi baginya untuk memberi perkhidmatan terbaik untuk pelanggannya.

” Apapun saya percaya, kesanggupan saya menyediakan pakej perkahwinan yang serendah RM8.80 untuk mereka yang mahu mendirikan rumahtangga tak banyak sikit memberi ‘berkat’ dalam perniagaan saya. Saya dulu bukan orang senang dan saya faham bagaimana sukarnya untuk mencari duit membiayai kos perkahwinan khususnya bagi mereka yang tinggal di ibu kota.

” Tak mengapalah…walaupun ‘rugi’ sedikit tetapi Alhamdulillah Allah beri dalam bentuk lain. Anda lihat sendiri daripada pagi sampai ke petang pejabat saya tak putus-putus dikunjungi mereka yang nak buat ‘food testing’. Bagi mereka yang mahukan perkahwinan mewah dan eksklusif, saya juga ada sediakan pakej untuk mereka. Yang pasti walaupun serendah RM8.80, saya langsung tidak pernah berkompromi bab kualiti, makan mesti sedap, layanan mesti bagus, harga mesti munasabah…kalau pegang prinsip itu, tiada apa yang patut kita takut biarpun ramai pesaing di luar sana,” kata Zarinna yang mengakui syarikatnya mampu mengendalikan jamuan hingga 21,000 orang pada satu-satu masa, pergh!

Aku salute dengan iltizam dan keazaman Zarinna. Ternyata walaupun diuji dengan pelbagai dugaan dan cabaran yang bukan sikit, budak flat Sentul ni berjaya membuktikan tiada apa yang mustahil kalau kita berusaha dengan tekun dan bersungguh-sungguh. Umur 26 dah pegang wang berjuta…tak silap aku masa umur macam tu masih lagi terkial-kial bawa motor Ex5 gi kerja, adeh deh deh!

Salute lu Zarinnah Arabath, ini baru champion!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *